Skip to main content

Dunia

Pemulihan rantaian bekalan dijangka ambil masa berbulan‑bulan walaupun selepas Selat Hormuz dibuka

Fishermen work in front of oil tankers south of the Strait of Hormuz Jan. 19, 2012, offshore the town of Ras Al Khaimah in United Arab Emirates. (AP Photo/Kamran Jebreili, File)
Penganalisis memberi amaran bahawa keyakinan industri perkapalan terhadap keselamatan di Selat Hormuz mungkin mengambil masa bertahun-tahun untuk pulih sepenuhnya. -Gambar fail/AP

DUBAI: Rantaian bekalan global dan pasaran tenaga dijangka mengambil masa berbulan-bulan untuk pulih sepenuhnya walaupun sekiranya Selat Hormuz dibuka semula dalam masa terdekat, menurut amaran pakar maritim dan perdagangan.

Ketua Komunikasi Korporat gergasi perkapalan Jerman, Hapag-Lloyd, Nils Haupt berkata berakhirnya bedilan dan peperangan tidak bermakna krisis logistik akan selesai serta-merta kerana kerja-kerja pemulihan sebenar hanya akan bermula selepas itu.

Advertisement

Beliau menjangkakan ratusan kapal akan menyerbu pelabuhan utama di Teluk Parsi sebaik sahaja laluan dibuka, sekali gus mencetuskan gangguan baharu kepada aliran keluar masuk kontena di rantau berkenaan.

Setakat ini, Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) melaporkan kira-kira 2,000 kapal terkandas di rantau itu susulan sekatan separa oleh Iran yang hanya membenarkan laluan kapal dari negara dianggap mesra.

Data daripada syarikat risikan maritim, Windward, menunjukkan kira-kira 400 kapal kini menunggu di Teluk Oman untuk memasuki selat tersebut, manakala kapal lain terpaksa dilencongkan melalui Terusan Suez atau mengelilingi Tanjung Harapan di Afrika Selatan.

Pengurus Besar Persatuan Risiko Perang Pemilik Kapal Norway, Svein Ringbakken berkata proses pembersihan tunggakan bekalan minyak, gas dan barangan lain akan memakan masa lama ekoran kerosakan teruk pada infrastruktur pengangkutan dan tenaga.

Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) mengesahkan lebih 40 aset tenaga di rantau itu mengalami kerosakan serius, menyebabkan syarikat utama seperti QatarEnergy dan Kuwait Petroleum Company mengisytiharkan force majeure akibat gangguan pengeluaran.

Sekatan di laluan strategik itu, yang dilancarkan Iran sebagai tindak balas terhadap serangan Amerika Syarikat-Israel sejak 28 Feb lalu, telah menjejaskan kira-kira 20 peratus bekalan minyak mentah dan gas asli cecair (LNG) dunia.

Selain kenaikan harga tenaga, gangguan itu turut melibatkan eksport bahan petrokimia, baja, dan bahan mentah pembuatan plastik ke pasaran global.

Kos insurans dilaporkan melonjak sehingga 300 peratus, manakala syarikat logistik kini mula mempelbagaikan laluan perdagangan secara kekal bagi mengurangkan kebergantungan terhadap laluan berisiko tinggi itu pada masa hadapan.

Penganalisis memberi amaran bahawa keyakinan industri perkapalan terhadap keselamatan di Selat Hormuz mungkin mengambil masa bertahun-tahun untuk pulih sepenuhnya.

Must Watch Video