[TERKINI] Amir Hamzah Jalankan Tugas Menteri Ekonomi Berkuat Kuasa Serta-Merta – RMK13 Jadi Tumpuan | Berita Lanjut di Sini
DUNIA

Penangguhan tarif mungkin dilanjutkan selepas Julai - Rumah Putih

Bernama 27/06/2025 | 03:50 MYT
Leavitt berkata, AS mungkin mempertimbangkan untuk melanjutkan penangguhan tarif timbal balik yang dijadual tamat bulan depan. - Gambar/ Reuters
WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mungkin mempertimbangkan untuk melanjutkan penangguhan tarif timbal balik yang dijadual tamat bulan depan, menurut jurucakap Rumah Putih pada Khamis.

Ringkasan AI
  • Pentadbiran Presiden Donald Trump sedang mempertimbangkan untuk melanjutkan penangguhan tarif timbal balik ke atas barangan Korea Selatan yang dijadual tamat pada 8 Julai, bergantung kepada keputusan presiden.
  • Rundingan antara Amerika Syarikat, Korea Selatan dan beberapa negara lain sedang berlangsung bagi mengelakkan atau mengurangkan kesan tarif yang dicadangkan, termasuk duti sebanyak 25 peratus.
  • Tarif tersebut diumumkan pada 2 April dan mula berkuat kuasa pada 9 April, namun digantung selama 90 hari untuk memberi ruang kepada rundingan; Trump sebelum ini memberi isyarat terbuka untuk melanjutkan penangguhan.

Menurut agensi berita Yonhap, Karoline Leavitt berkata demikian ketika rundingan sedang berlangsung antara AS, Korea Selatan dan beberapa negara lain bagi mengelakkan atau meminimumkan kesan tarif yang dicadangkan.
"Mungkin ia boleh dilanjutkan, tetapi itu keputusan yang perlu dibuat oleh presiden," katanya kepada pemberita semasa sidang media.
Penangguhan tersebut, yang merangkumi duti sebanyak 25 peratus ke atas barangan Korea Selatan, dijadual tamat pada 8 Julai. Seoul kini sedang berusaha untuk mencapai perjanjian dengan Washington sebelum tarikh akhir itu.
Trump mengumumkan tarif timbal balik itu pada 2 April lalu sebagai langkah untuk menyamai tarif yang dikenakan oleh negara lain terhadap eksport AS.
Tarif tersebut, termasuk duti sebanyak 25 peratus ke atas produk dari Korea Selatan, mula berkuat kuasa secara rasmi pada 9 April, namun terus digantung selama 90 hari bagi memberi ruang kepada rundingan.
Awal bulan ini, Trump memberi isyarat bahawa beliau terbuka untuk melanjutkan penangguhan itu, namun turut menyatakan pelanjutan mungkin tidak diperlukan.
-- BERNAMA
#tarif AS #rundingan tarif #Donald Trump #lanjutan penangguhan