DUNIA

Penasihat ekonomi White House jangka penutupan kerajaan "akan berakhir minggu ini"

Bernama 20/10/2025 | 21:30 MYT
Sekiranya rundingan kembali berjalan, pentadbiran Trump mungkin akan mengenakan "langkah lebih tegas" untuk memaksa Demokrat bekerjasama, kata Hassett. - Gambar fail Reuters
WASHINGTON: Penutupan kerajaan Amerika Syarikat (AS) yang sedang berlangsung "berkemungkinan akan berakhir minggu ini," kata Penasihat Ekonomi White House pada Isnin, lapor Anadolu Ajansi (AA).

"Presiden telah sangat aktif sepanjang proses ini, tetapi beliau juga berpendapat bahawa perkara ini perlu diselesaikan oleh Senat," kata Kevin Hassett dalam satu temu bual dengan CNBC.

"Ramai rakan kami di Senat berkata adalah tidak baik dari segi persepsi politik bagi Demokrat membuka semula kerajaan sebelum perhimpunan itu, dan kini ada kemungkinan minggu ini segalanya akan dapat diselesaikan," katanya.

Hasset merujuk kepada dakwaan bahawa Demokrat enggan membuka semula kerajaan sebelum bantahan besar-besaran "No Kings" terhadap pentadbiran Trump pada hujung minggu lepas tetapi Demokrat menafikan ia mempunyai kaitan dengan perhimpunan itu.

Sekiranya rundingan kembali berjalan, pentadbiran Trump mungkin akan mengenakan "langkah lebih tegas" untuk memaksa Demokrat bekerjasama, kata Hassett.

Penutupan kerajaan bermula pada 1 Okt selepas rundingan mengenai keutamaan perbelanjaan persekutuan gagal mencapai kata sepakat.

Sejak itu, ribuan pekerja persekutuan sama ada diarahkan bercuti tanpa gaji atau terus bekerja tanpa bayaran, manakala pelbagai perkhidmatan kerajaan - daripada talian bantuan soalan cukai IRS hingga pusat pelawat di taman negara - telah dihadkan atau digantung.

Isu ini semakin memuncak apabila peningkatan mendadak harga insurans kesihatan mula diumumkan kepada orang ramai.

Parti Demokrat menuntut subsidi kerajaan diteruskan bagi memastikan pelan insurans itu kekal mampu milik untuk berjuta-juta rakyat Amerika sebelum meluluskan langkah perbelanjaan sementara bagi membuka semula kerajaan.

Mereka berkata, memandangkan kerajaan mampu menanggung pemotongan cukai kepada golongan bilionair dalam pelan perbelanjaan utama Trump pada musim panas lepas, ia juga sepatutnya mampu menyediakan subsidi penjagaan kesihatan untuk rakyat Amerika berpendapatan rendah dan sederhana.

-- BERNAMA



#penutupan kerajaan AS #protes No Kings #penasihat ekonomi White House #Kevin Hassett #pentadbiran Donald Trump