Pencabulan hak asasi: EU laksana sekatan baharu ke atas junta Myanmar

Bernama
Februari 21, 2023 05:14 MYT
Sehingga kini 93 individu dan 18 entiti telah dikenakan sekatan kerana pencabulan hak asasi manusia. - Fail/BERNAMA
BRUSSELS: Kesatuan Eropah (EU) melaksanakan pakej sekatan keenam terhadap junta tentera Myanmar kerana pencabulan hak asasi manusia, lapor Agensi Anadolu.
Menteri-menteri luar EU meluluskan sekatan terhadap sembilan orang dan tujuh entiti, menurut kenyataan Majlis Kesatuan Eropah pada Isnin.
Mereka yang disenarai hitam termasuk menteri tenaga, ahli perniagaan terkemuka dan pegawai tentera berpangkat tinggi yang dikenakan sekatan perjalanan dan pembekuan aset.
"Turut disenarai ialah ahli politik dan pentadbir dari Wilayah Yangon yang terlibat dalam proses hukuman mati ke atas empat aktivis demokrasi pada Julai 2022 dan di negeri Kachin, membabitkan serangan udara, pembunuhan beramai-ramai, serbuan, pembakaran dan penggunaan manusia sebagai perisai yang dilakukan oleh tentera," menurut kenyataan itu.
Sehingga kini 93 individu dan 18 entiti telah dikenakan sekatan.
Selain itu, EU turut mengekalkan sekatan ke atas senjata dan peralatan ketenteraan serta eksport barangan dwikegunaan.
-- BERNAMA
#junta Myanmar #sekatan EU #hak asasi #Kesatuan Eropah