DUNIA

Pencipta bersama 'Call of Duty', Vince Zampella, maut dalam nahas jalan raya di California

Astro Awani 22/12/2025 | 23:15 MYT
Kematian Zampella mengejutkan komuniti permainan global, dengan ramai peminat dan rakan industri menyampaikan ucapan takziah serta penghargaan terhadap sumbangannya yang besar dalam membentuk landskap permainan moden. - Foto X/The Game Awards
LOS ANGELES: Vince Zampella, tokoh terkemuka dalam industri permainan video dan pencipta bersama francais popular Call of Duty, maut dalam satu kemalangan jalan raya di California pada Ahad, menurut laporan media tempatan. Beliau berusia 55 tahun.

Kemalangan itu berlaku sekitar jam 12.45 tengah hari waktu tempatan di Lebuh Raya Angeles Crest, sebuah laluan pergunungan yang terkenal di utara Los Angeles, di kawasan Pergunungan San Gabriel.

Menurut kenyataan Peronda Lebuhraya California (CHP), kenderaan yang dinaiki Zampella terbabas dan melanggar penghadang konkrit sebelum terbakar sepenuhnya.

Seorang penumpang dilaporkan tercampak keluar dari kenderaan dan meninggal dunia di hospital, manakala pemandu yang terperangkap dalam kenderaan disahkan maut di tempat kejadian.

Identiti pemandu dan penumpang belum disahkan secara rasmi, namun laporan media menyatakan Zampella adalah antara mangsa yang terkorban.

Punca kemalangan masih dalam siasatan dan pihak berkuasa belum mengesahkan sama ada alkohol atau dadah terlibat.

Seorang saksi turut menyerahkan rakaman video kejadian yang melibatkan sebuah Ferrari 296 GTS model 2026 kepada pihak berkuasa.

Zampella dikenali sebagai pengasas bersama studio Infinity Ward pada tahun 2002 dan memainkan peranan penting dalam pembangunan Call of Duty, salah satu francais permainan video paling berjaya dalam sejarah.

Beliau kemudian menubuhkan Respawn Entertainment pada 2010, yang menghasilkan permainan terkenal seperti Titanfall dan Apex Legends.

Studio itu kemudiannya diambil alih oleh Electronic Arts pada 2017.

Kematian Zampella mengejutkan komuniti permainan global, dengan ramai peminat dan rakan industri menyampaikan ucapan takziah serta penghargaan terhadap sumbangannya yang besar dalam membentuk landskap permainan moden.

Tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh keluarga Zampella atau pihak Respawn Entertainment setakat ini.







#Vince Zampella #Nahas #meninggal dunia #call of duty