DUNIA

Pencuri larikan kad Pokemon bernilai lebih RM723,000

Astro Awani 14/07/2025 | 01:10 MYT
Pihak berkuasa masih menjalankan siasatan dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu. - Foto X/j a m e s
MASSACHUSETTS: Seorang pencuri berjaya melarikan kad Pokémon edisi pertama bernilai lebih AS$170,000 selepas memecah masuk sebuah kedai koleksi di New Bedford, Massachusetts, Amerika Syarikat (AS) minggu lalu.

Kejadian berlaku di kedai 1st Edition Collectibles, di mana suspek bertopeng dilihat dalam rakaman CCTV memecahkan pintu kaca dan berlari masuk dengan beg galas.

Menurut pemilik bersama kedai, Filipe Andre, lapan kad Pokémon yang sangat berharga telah dicuri, dengan nilai keseluruhan mencecah AS$113,650 (RM483,000).

Andre percaya rompakan itu telah dirancang terlebih dahulu, kerana suspek tahu dengan tepat kad mana yang hendak diambil dan hanya berada di dalam premis selama 20 saat.

“Ini hasil empat tahun kerja keras tanpa gaji. Kami hanya mahu barang kami dikembalikan,” katanya.

Suspek dipercayai memotong kunci pagar belakang dan memecahkan pintu belakang kerana kedai tersebut tidak mempunyai pintu masuk terus dari jalan utama.

Andre menyeru agar pencuri memulangkan kad tersebut tanpa sebarang soal siasat, dan menyatakan kesediaan untuk melupakan insiden itu sekiranya barang dikembalikan.

Pihak berkuasa masih menjalankan siasatan dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu.

Kes ini menambah kepada senarai panjang jenayah berkaitan kad koleksi bernilai tinggi, yang semakin popular dan mahal di pasaran antarabangsa.






#kad Pokemon #kedai koleksi #1st Edition Collectibles #rompakan