Pendakwa khas mohon hukuman penjara 10 tahun terhadap bekas Presiden Korea Selatan Yoon

Yoon turut berdepan tiga lagi perbicaraan berkaitan cubaan pelaksanaan undang-undang tentera, termasuk pertuduhan mengetuai pemberontakan. - Reuters
SEOUL: Pasukan pendakwa khas pada Jumaat memohon hukuman penjara 10 tahun terhadap bekas Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol atas pertuduhan menghalang keadilan dan kesalahan lain berkaitan pengisytiharan undang-undang tentera pada Disember 2024, lapor Yonhap.
Pasukan pendakwa khas yang diketuai Cho Eun-suk mengemukakan permohonan hukuman itu semasa perbicaraan terakhir kes berkenaan di Mahkamah Daerah Pusat Seoul, dengan menyatakan bahawa bekas presiden itu telah melakukan "jenayah serius" dengan menyalahgunakan institusi negara untuk melindungi dan mewajarkan tindakan jenayahnya.
Permohonan itu merupakan cadangan hukuman pertama dalam empat kes yang dihadapi Yoon berkaitan pengisytiharan undang-undang tentera.
"Perbuatan jenayah tertuduh telah merosakkan kedaulatan undang-undang dan menjejaskan kepercayaan rakyat yang memilihnya sebagai presiden," kata seorang anggota pasukan pendakwa.
"Namun begitu, sepanjang perbicaraan, tertuduh bukan sahaja gagal menunjukkan rasa kesal atau memohon maaf kepada rakyat, malah terus mempertahankan kesahihan pengisytiharan undang-undang tentera tersebut," katanya.
Perbicaraan tertumpu pada tuduhan bahawa bekas presiden itu menghalang keadilan dengan menghalang penyiasat daripada menahannya pada bulan Januari, melanggar hak sembilan ahli Kabinet yang tidak dipanggil ke mesyuarat untuk menyemak semula rancangan undang-undang tenteranya, dan merangka serta memusnahkan pengisytiharan yang disemak semula selepas dekri itu ditarik balik.
Selain itu, beliau turut didakwa mengarahkan pengedaran kenyataan media yang mengandungi maklumat palsu berkaitan pengisytiharan tersebut serta memadam rekod telefon selamat yang digunakan oleh beberapa komander tentera ketika itu.
Mengikut pertuduhan, pasukan pendakwa menuntut hukuman penjara lima tahun atas kesalahan menghalang penahanan, tiga tahun bagi pelanggaran hak anggota Kabinet, penyebaran maklumat palsu kepada media asing dan pemusnahan rekod telefon, serta dua tahun bagi kesalahan menggubal semula perisytiharan tersebut.
"Bagi memulihkan perlembagaan dan kedaulatan undang-undang yang telah terjejas akibat perbuatan tertuduh, serta mengelakkan berulangnya penyalahgunaan kuasa oleh tokoh paling berpengaruh dalam sejarah Republik Korea, hukuman yang tegas perlu dikenakan," kata wakil pasukan pendakwa itu.
Yoon turut berdepan tiga lagi perbicaraan berkaitan cubaan pelaksanaan undang-undang tentera, termasuk pertuduhan mengetuai pemberontakan.
Perbicaraan berkaitan kes menghalang keadilan dijangka menjadi yang pertama diselesaikan, dan mahkamah sebelum ini memaklumkan keputusan dijangka diumumkan pada 16 Jan, dua hari sebelum tempoh penahanan Yoon berakhir.
Peguam Yoon berhujah bahawa keputusan sepatutnya hanya dibuat selepas perbicaraan kes pemberontakan selesai, namun permohonan itu ditolak oleh mahkamah.
Perbicaraan kes pemberontakan dijangka selesai seawal Januari, dengan keputusan dijangka diumumkan sekitar Februari.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


