PARIS: Pejabat pendakwa raya Paris pada Sabtu memaklumkan yang ia melantik beberapa majistret untuk menganalisis bukti yang mampu mengaitkan warganegara Perancis susulan penerbitan fail Jeffrey Epstein di Amerika Syarikat (AS), menurut media Perancis, lapor Xinhua.
Pejabat itu dalam kenyataan menjelaskan, pihaknya sedang meneliti dokumen baharu yang dikeluarkan di AS dengan kerjasama pejabat pendakwa kewangan negara selain berhubung dengan direktorat kebangsaan polis kehakiman bagi membuka siasatan sekiranya perlu, menurut akhbar harian Le Monde.
Advertisement
Pejabat pendakwa raya turut mengumumkan yang ia sedang menjalankan analisis semula secara menyeluruh terhadap fail siasatan yang melibatkan Jean-Luc Brunel, bekas ejen peragaan dan sekutu Epstein.
Le Monde melaporkan yang kes melibatkan Brunel sebelum ini ditutup tanpa tindakan lanjut selepas beliau meninggal dunia pada usia 75 tahun pada Februari 2022.
Brunel, yang ditahan reman sejak Disember 2020, ditemukan tergantung di dalam sel penjaranya.
Menurut pejabat pendakwa raya, tujuan semakan semula itu adalah untuk mengenal pasti sebarang bahan yang boleh diteliti dan berguna dalam siasatan baharu.
-- BERNAMA-XINHUA