DUNIA

Pendakwa raya Perancis siasat TikTok berhubung risiko kepada golongan bawah umur

Bernama 05/11/2025 | 10:46 MYT
Kawalan kandungan TikTok didakwa tidak mencukupi, selain algoritma TikTok yang dikatakan berpotensi mendorong remaja rentan membunuh diri. - Gambar fail/Adobe Stock
MOSCOW: Pejabat Pendakwa Raya Paris melancarkan siasatan awal terhadap platform media sosial TikTok selepas suruhanjaya parlimen menyimpulkan yang penggunaannya menimbulkan risiko kepada golongan bawah umur, kata Pendakwa Raya Paris Laure Beccuau, lapor Sputnik/RIA Novosti.

"Berikutan permintaan pada 11 Sept 2025 oleh ahli parlimen Arthur Delaporte berhubung pelanggaran yang ditemui oleh suruhanjaya parlimen yang menyiasat kesan psikologi TikTok, pejabat pendakwa raya Paris melancarkan siasatan awal," kata Beccuau dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau sebelum ini mengulas dakwaan kawalan terhadap kandungan di platform itu yang tidak mencukupi dan turut mendakwa algoritma TikTok berpotensi mendorong remaja rentan untuk membunuh diri.

TikTok, aplikasi penciptaan dan perkongsian video pendek yang dilancarkan pada 2018 oleh syarikat ByteDance, adalah peneraju pasaran dalam segmen aplikasi video pendek di China dan terus meningkat popularitinya di seluruh dunia.

Rangkaian sosial itu kini berada di bawah pemantauan ketat pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS), yang bimbang kerajaan China boleh menuntut data pengguna atau menggunakan aplikasi itu untuk menyebarkan propaganda.

Syarikat pemilik TikTok berulang kali menolak kebimbangan itu. TikTok kini mempunyai kira-kira 170 juta pengguna di AS.

-- BERNAMA

#TikTok #kawalan kandungan #algoritma #pendakwa raya perancis #siasatan #golongan bawah umur