DUNIA

Pendakwa raya Sepanyol gugur siasatan dakwaan salah laku seksual terhadap Julio Iglesias

Astro Awani 24/01/2026 | 05:15 MYT
Menurut dokumen pendakwa raya, semua dakwaan terhadap Inglesias (foto) berlaku di luar wilayah Sepanyol dan kedua‑dua mangsa bukan warganegara atau penduduk negara itu. -Gambar fail
MADRID: Pihak pendakwa raya di Mahkamah Tinggi Sepanyol menggugurkan siasatan awal terhadap penyanyi tersohor Julio Iglesias selepas memutuskan mahkamah negara itu tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengendalikan dakwaan salah laku seksual dan eksploitasi buruh yang didakwa berlaku di luar negara.

Aduan berkenaan difailkan pertubuhan Women’s Link Worldwide pada 5 Jan bagi pihak dua wanita — masing‑masing bekas pekerja di kediaman Iglesias di Republik Dominika dan Bahamas — yang mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual, pemerdagangan manusia untuk buruh paksa serta pencabulan hak pekerja pada 2021.

Aduan itu berasaskan laporan penyiasatan oleh penyiar Amerika Syarikat, Univision, dan portal Sepanyol, elDiario.es.

Menurut dokumen pendakwa raya, semua dakwaan berlaku di luar wilayah Sepanyol dan kedua‑dua mangsa bukan warganegara atau penduduk negara itu.

Selaras dengan prinsip had bidang kuasa sejagat yang ditetapkan Mahkamah Agung Sepanyol, prosiding sewajarnya perlu dibawa di negara tempat kejadian berlaku — Republik Dominika atau Bahamas — kerana tiada bukti pihak berkuasa di sana enggan atau tidak mampu mengendalikan siasatan.

Iglesias, 82, sebelum ini menafikan semua dakwaan melalui kenyataan di media sosial, menyifatkannya “sepenuhnya palsu” serta menzahirkan rasa sedih terhadap tuduhan yang dibuat oleh dua bekas pekerjanya itu.

Percubaan media antarabangsa untuk mendapatkan maklum balas lanjut tidak berjaya, manakala label muzik Sony turut enggan mengulas.

Setakat ini, belum dapat dipastikan sama ada kedua‑dua wanita tersebut akan meneruskan tindakan undang‑undang di Republik Dominika atau Bahamas, memandangkan negara‑negara berkenaan mempunyai bidang kuasa penuh untuk siasatan lanjut.





#gangguan seksual #Julio Iglesias #pemerdagangan manusia #pendakwaraya Sepanyol