KATOWICE (POLAND): Krisis kekurangan bekalan makanan yang sedang dihadapi hari ini mungkin dapat diselesaikan dengan lebih baik sekiranya isu perbandaran diselesaikan secara menyeluruh dan berintegrasi

Dalam konteks ini, Pengarah Eksekutif UN Habitat, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif menyarankan setiap kementerian perlu bergadingan antara satu sama lain bagi mencari jalan penyelesaian isu dan masalah yang dihadapi masyarakat di bandar.

Antara saranan beliau ialah merangka mekanisme dan insentif untuk menggalakan orang ramai untuk terlibat sama dalam bertani sebagai contoh.

Dalam masa sama, Maimunah menegaskan, isu yang berkaitan dengan urbanisasi dan perbandaran juga tidak harus digalas oleh kementerian tertentu sahaja.

“Jangan kita lihat isu perbandaran ini hanya di bawah tanggungjawab (pihak) tertentu dan tiada kena mengena dengan kementerian lain.

"Kalau kita tengok isu perbandaran, kita kena pastikan wujud kerjasama dengan Kementerian Pertanian contohnya, kerana kita sering ada masalah dengan bekalan makanan kerana tiada insentif dan cara yang bersesuaian untuk orang Bertani,” kata beliau kepada Astro AWANI.

Orang ingatkan kalau pergi bandar semua masalah selesai tapi...

World Urban Forum | Mencorak pembangunan yang lebih mampan

 
Menurut Maimunah, penggubalan dan penyelesaian masalah yang dilakukan secara ‘silo’ bukan hanya berlaku di Malaysia, tetapi turut terjadi di kebanyakan negara lain di seluruh dunia.

Katanya lagi, masalah perumahan, kadar jenayah, akses kepada kualiti pendidikan dan kemiskinan akan bertambah sekiranya perancangan bandar tidak dilakukan dengan lebih mendalam.

Ini kerana, persepsi yang sudah lama sebati dalam kalangan sebilangan rakyat ialah penghijrahan ke bandar akan menyebabkan pelbagai masalah akan berakhir termasuk peluang pekerjaan yang banyak.

“Realitinya, jika tidak dapat beli rumah, (maka) setinggan akan ada, bila tak dapat kerja, kadar jenayah akan meningkat, sangka dapat pergi sekolah tapi disebabkan kemiskinan, anak-anak tidak dapat pergi sekolah. Ini semua masalah.

“Ini antara sebab mengapa kami di UN Habitat mengutamakan úrban-rural continuum’ di mana isu kemiskinan menjadi keutamaan dalam pelan strategik kami,” katanya.

Maimunah berkata demikian ketika ditemu bual dalam rakaman Agenda AWANI di World Urban Forum (WUF) 2022 yang ketika ini berlangsung di Katowice, Poland.

Forum anjuran UN-Habitat ini merupakan antara perhimpunan antarabangsa yang paling inklusif mengenai isu-isu bandar yang melibatkan wakil kerajaan-kerajaan negara, wilayah dan tempatan, ahli akademik, ahli perniagaan, pemimpin masyarakat, perancang bandar dan wakil masyarakat sivil.

Ikuti temu bual penuh bersama Maimunah dalam Agenda AWANI yang akan disiarkan pada pukul 9 malam ini (27 Jun 2022) di saluran 501.