DUNIA
Penderitaan rakyat Palestin di Gaza, jenayah yang tidak boleh ditoleransi - Mahmoud Abbas

Mahmoud Abbas berkata rakyat Palestin kini menghadapi bencana kemanusiaan terbesar pada zaman ini, sementara usaha masyarakat antarabangsa gagal menghalang pendudukan Israel. - AP
RAMALLAH: Presiden Palestin Mahmoud Abbas menegaskan bahawa penderitaan rakyat Palestin di Semenanjung Gaza yang berdepan kepungan, kebuluran dan kekurangan keperluan asas kehidupan merupakan satu jenayah yang tidak boleh diterima, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).
Dalam perutusan yang disiarkan secara langsung kepada rakyat Gaza pada Khamis petang menerusi saluran televisyen Palestine TV, Abbas berkata rakyat Palestin kini menghadapi bencana kemanusiaan terbesar pada zaman ini, sementara usaha masyarakat antarabangsa gagal menghalang pendudukan Israel.
"Bagaimana dunia boleh meninggalkan nilai kemanusiaannya?" soal beliau.
Abbas berkata tindakan menakutkan seperti kebuluran terhadap orang awam dan pembunuhan di hadapan pusat agihan bantuan di Gaza adalah "aib besar kepada masyarakat antarabangsa jika mereka tidak bertindak segera untuk menghentikan genosid ini."Beliau menegaskan bahawa penerusan situasi itu merupakan satu jenayah perang yang sepenuhnya menjadi tanggungjawab pendudukan Israel.
Presiden itu menyeru kepada gencatan senjata serta-merta dan berkekalan di Gaza, kemasukan segera bekalan makanan dan ubat-ubatan, serta pembebasan hasil cukai Palestin yang ditahan oleh kerajaan Israel.
Abbas turut menggesa Presiden Amerika Syarikat supaya campur tangan dan membenarkan agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyampaikan bantuan makanan dan perubatan, serta menyeru masyarakat antarabangsa mencari jalan segera untuk membawa ratusan ribu tan bantuan kemanusiaan yang kini berada di sekitar Semenanjung Gaza masuk ke kawasan itu.
Beliau menegaskan penolakannya terhadap sebarang bentuk pemindahan paksa, dan menuntut pengunduran sepenuhnya tentera pendudukan Israel serta membolehkan Negara Palestin mengambil tanggungjawab penuh bagi membantu rakyat Gaza kembali ke rumah mereka, menjaga keselamatan, menguatkuasakan undang-undang dan memulakan usaha pemulihan semula dengan sokongan Arab dan antarabangsa.
Abbas turut memberi amaran bahawa cubaan untuk mengenakan kedaulatan Israel ke atas kawasan penempatan di Tebing Barat merupakan satu tindakan provokatif yang berbahaya dan mencabuli hak rakyat Palestin untuk memiliki negara yang merdeka dan berdaulat.
Beliau menggesa masyarakat antarabangsa supaya menolak pelanggaran tersebut dan mengiktiraf Negara Palestin.
Presiden itu menegaskan bahawa negara Palestin yang merdeka dan berdaulat akan menjadi kenyataan di tanah Palestin menerusi perpaduan, ketabahan dan mematuhi hak-hak yang sah.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami