KUALA LUMPUR: Rejim Israel mahu menjadikan generasi Palestin jahil dengan sengaja memusnahkan institusi pendidikan selain menyekat semua akses untuk kanak-kanak di Semenanjung Gaza mendapatkan pendidikan.

Sekolah dan institusi pendidikan di kawasan yang dikepung sering menjadi sasaran utama kekejaman Israel sejak berdekad lamanya.

Ketua Pengarah Perhubungan Antarabangsa Kementerian Pendidikan Gaza, Ahmed Abu Ayesh Alnajjar, berkata di sebalik semua penindasan itu, ia langsung tidak mematahkan semangat rakyat Palestin untuk menimba ilmu biar dengan apa cara sekalipun.

"Sejak 1948, mereka (Israel) sengaja menyasarkan (untuk menghancurkan) institusi pendidikan kerana sekolah adalah sumber pengetahuan utama bagi anak-anak kami. Mereka mahu mewujudkan generasi yang jahil; mereka mahu rakyat Palestin buta huruf.

"Mereka (Israel) tahu jika sebuah negara dipenuhi dengan orang yang tidak tahu membaca atau menulis, mudah untuk mengawalnya," katanya dalam temu bual menerusi telefon dengan Bernama dari Gaza.

Beliau berkata rakyat Palestin amat menghargai pendidikan.

Berkeluasan hanya 365 kilometer persegi, menurut Ahmed ketika ini terdapat 764 sekolah di Gaza, dengan 422 sekolah kerajaan dan 278 dikendalikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), manakala 64 lagi sekolah swasta.

Sementara terdapat lapan universiti dan 15 kolej di kawasan yang didiami kira-kira dua juta penduduk itu.

Palestin antara yang mempunyai kadar celik huruf tertinggi di dunia, tambahnya.

Menurut Biro Statistik Pusat Palestin, kadar buta huruf dalam kalangan rakyat Palestin berumur 15 tahun ke atas pada 2020 adalah 2.6 peratus.

"Alhamdulillah, kami antara yang mempunyai kadar celik huruf tertinggi. Kami, rakyat Palestin amat cintakan ilmu dan menganggap pendidikan sebagai senjata paling penting untuk mendapatkan kembali hak kami, membina generasi yang berjiwa kental, untuk membebaskan negara kami," katanya.

SEKOLAH, SASARAN UTAMA

Sekolah di Gaza bukan sekadar menjadi pusat pembelajaran bagi kanak-kanak Palestin malah, ia juga berfungsi sebagai tempat berlindung kepada rakyat yang mencari perlindungan daripada serangan tentera Israel.

"Keadaan semakin buruk; banyak sekolah rosak teruk dan dijadikan tempat perlindungan, kami tidak mempunyai kemudahan belajar yang cukup. Sekarang, kita ada 51 sekolah yang dijadikan tempat berlindung, 50 daripadanya sudah penuh," katanya.

Menurut beliau 46 sekolah di Semenanjung Gaza musnah dan rosak teruk akibat serangan terbaru rejim Israel.

Selain sekolah, dua pejabat pendidikan juga rosak, tambahnya.

Beliau berkata rejim itu juga telah memusnahkan infrastruktur utama di kawasan ini termasuk menara elektrik - menyebabkan akses kepada pembelajaran dalam talian terjejas.

Sekurang-kurangnya 65 kanak-kanak terbunuh sementara 700 lagi cedera dalam serangan bermula 10 Mei lalu.

Pertempuran itu berakhir dengan gencatan senjata pada 20 Mei dengan Mesir bertindak sebagai perantara.

AKSES KEPADA PENDIDIKAN BERKUALITI

Ahmed berkata, Kementerian Pendidikan telah berusaha memberikan pendidikan berkualiti kepada semua kanak-kanak di Gaza.

"Kementerian bekerjasama dengan badan antarabangsa seperti PBB dan masyarakat, dan memastikan sistem serta sukatan pelajaran terkini untuk memastikan kami dapat memberikan pendidikan berkualiti untuk kanak-kanak di sini," katanya.

Menurutnya sejak pandemik COVID-19 melanda dunia tahun lalu, kementerian pendidikan telah beralih kepada pengajaran dan pembelajaran dalam talian.

"Kami dapat mencapai beberapa kejayaan menerusi pembelajaran dalam talian. Malangnya, ini pula berlaku," katanya, merujuk kepada serangan selama 11 hari itu.

Beliau berkata berdasarkan data kementerian, setakat ini terdapat 591,599 pelajar sekolah berusia 6 hingga 17 tahun di Gaza. Pelajar juga wajib mempelajari lima subjek iaitu Bahasa Arab, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan mata pelajaran Kebangsaan.

Menurut Ahmed, kementerian juga memerlukan bantuan untuk membaiki semula bangunan sekolah yang rosak dan membina sekolah baharu.

Beliau menggesa masyarakat antarabangsa agar terus menekan rejim Israel untuk mengakhiri sekatan dan kepungan di Gaza, sejak 2007.

"Kepungan itu sangat menyeksakan. Mereka mesti membenarkan bantuan kemanusiaan dan bahan binaan masuk, jadi kita dapat membina semula sekolah dan membangun semula Gaza," tambahnya.

-- BERNAMA