DUNIA

Penduduk Aceh terjejas banjir 'berpesta' jumpa emas

Sinar Harian 22/12/2025 | 00:15 MYT
Rakaman aksi teruja mereka mendulang emas turut menjadi tular di media sosial. - Foto Sinar Harian/Agensi
ACEH BARAT: Bencana banjir yang melanda Kabupaten Aceh Barat membawa rezeki tidak terduga.

Sejumlah penduduk mendakwa mereka menjumpai butiran emas di sekitar kawasan terjejas banjir di Gampong Seuradeuk, Kecamatan Woyla Timur, Indonesia pada Jumaat lalu.

Penemuan itu dibuat ketika mereka sedang bergotong-royong membersihkan rumah masing-masing yang digenangi lumpur.

Penduduk kemudiannya seperti berpesta apabila mereka mula menggunakan peralatan yang ada untuk mendulang logam berharga tersebut.

Rakaman aksi teruja mereka yang tular di media sosial turut menerima pelbagai reaksi warganet.

Sementara itu, pensyarah dan penyelidik dalam bidang Sumber Daya Mineral di Jabatan Kejuruteraan Geologi, Universiti Gadjah Mada (UGM), Lucas Donny Setijadji berkata, wilayah Aceh sememangnya mempunyai sumber mineral emas.

"Banyak wilayah di negara kita yang mempunyai sumber mineral terutamanya emas," katanya.

Lucas menjelaskan fenomena itu berlaku kerana butiran emas merupakan salah satu logam yang tahan lasak atau mampu bertahan terhadap proses hakisan.

Menurutnya, apabila berlaku pergerakan tanah akibat kejadian banjir, butiran emas yang masih utuh dan mempunyai ketumpatan tinggi akan kekal berhampiran dengan sumber batuan asalnya. - Sinar Harian memetik agensi





#banjir #emas #video tular #media sisial