Skip to main content

Dunia

Penduduk bandar Iran tertekan ekoran harga barangan melambung akibat perang

An Iranian missile flies toward Israel
Penduduk di bandar-bandar utama Iran kini berdepan dengan kenaikan harga barangan yang melambung tinggi serta tekanan hidup yang semakin meningkat, ketika konflik semasa menjadi ujian terhadap daya tahan masyarakat. - Gambar fail

TEHRAN: Penduduk di bandar-bandar utama Iran kini berdepan dengan kenaikan harga barangan yang melambung tinggi serta tekanan hidup yang semakin meningkat, ketika konflik semasa menjadi ujian terhadap daya tahan masyarakat, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Penduduk sememangnya sudah menghadapi krisis ekonomi yang meruncing sebelum Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan pada 28 Februari lepas.

Advertisement

Kesempitan ekonomi itu telah mencetuskan gelombang baharu protes besar-besaran pada penghujung Disember, yang didakwa telah disekat oleh pasukan keselamatan negara itu.

Asghar, 40, yang menetap di Tehran dan mengusahakan sebuah pasar raya kecil berkata: "Kebanyakan barangan menjadi lebih mahal hampir setiap hari." 

Beliau turut melahirkan rasa terkejut dengan kenaikan harga setiap kali membuat pesanan bekalan.

Harga makanan import dan rokok meningkat dengan amat pantas, malah ada yang melonjak sehingga dua kali ganda.

"Pelanggan sentiasa merungut tentang harga, tetapi buat masa ini kami terpaksa mengharungi keadaan ini," kata Asghar sambil menambah bahawa orang ramai kini hanya membeli barangan keperluan asas sahaja.

Kebanyakan keluarga turut terkesan akibat konflik itu. 

Jutaan penduduk Tehran mengalami gangguan tidur akibat bunyi jet pejuang di ruang udara dan letupan berhampiran, manakala tekanan hidup harian dibebankan lagi dengan kebimbangan ekonomi yang kian meruncing.

"Harga makanan seperti daging, ayam, dan buah-buahan meningkat setiap dua ke tiga hari," kata seorang pemandu teksi, Behrus.

Behrus berkata, dia kini bergelut dengan tekanan yang besar kerana hanya menerima sedikit tempahan teksi, manakala simpanan wang untuk dia dan isterinya semakin berkurangan.

"Saya berharap keadaan akan kembali normal secepat mungkin, supaya sekurang-kurangnya saya dapat meneruskan pekerjaan saya," katanya.

Dawud, seorang pengurup mata wang di Tehran, melaporkan permintaan terhadap euro dan dolar adalah lemah.

"Banyak perniagaan telah lumpuh sejak perkhidmatan internet disekat," kata lelaki berusia 45 tahun itu.

Sebelum ini, kira-kira 90 peratus daripada urus niaga mata wang adalah untuk perdagangan dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

"Sebahagian besar barangan import masuk melalui laluan selatan," dengan UAE memainkan peranan utama, kata Dawud.

Bagaimanapun, serangan oleh tentera Iran ke atas sasaran di negara Teluk itu kini telah menyebabkan ketegangan dalam hubungan kedua-dua pihak.

"Kami berkemungkinan akan menghadapi masalah yang lebih serius pada masa hadapan," katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video