DUNIA

Penduduk EU melebihi 450 juta pada 2025

Bernama 12/07/2025 | 08:45 MYT
Jumlah penduduk negara EU pada awal 2024 adalah 449.3 juta. - Foto Reuters
ISTANBUL: Jumlah penduduk 27 negara anggota Kesatuan Eropah (EU) mencecah 450.4 juta orang setakat 1 Jan 2025, menurut data rasmi Eurostat yang dikeluarkan pada Jumaat.

Menurut Anadolu Ajansi (AA), jumlah penduduk EU meningkat sebanyak 1.07 juta berbanding tahun sebelumnya, dan telah mencatatkan peningkatan selama empat tahun berturut-turut selepas mengalami penurunan pada 2021 susulan kesan pandemik COVID-19.

Jumlah penduduk negara EU pada awal 2024 adalah 449.3 juta.

Berdasarkan anggaran dan data awal, Jerman dijangka kekal sebagai negara paling ramai penduduk dalam EU pada 2025 dengan 83.6 juta orang, diikuti Perancis (68.6 juta), Itali (58.9 juta), Sepanyol (49.1 juta), Poland (36.5 juta), Romania (19 juta), Belanda (18 juta) dan Belgium (11.9 juta).

Sebaliknya, negara anggota dengan jumlah penduduk paling sedikit ialah Malta dengan 574,000 orang dan Luxembourg 681,000 orang.

"Pertumbuhan penduduk yang dicatatkan ini sebahagian besarnya disumbangkan oleh peningkatan pergerakan migrasi selepas COVID-19," menurut kenyataan Eurostat.

Sejak 2012, perubahan semula jadi negatif (bilangan kematian melebihi kelahiran) dalam populasi EU telah diimbangi oleh kadar migrasi bersih yang positif, menurut pejabat statistik EU itu.

-- BERNAMA



#Kesatuan Eropah #EU #jumlah penduduk #data rasmi Eurostat