Penduduk gempar penemuan bola logam misteri didakwa jatuh dari langit

Sinar Harian
Mei 18, 2022 01:50 MYT
Dua gambar menunjukkan objek misteri jatuh di kampung India baru-baru ini. - Foto Amarendra Srivastava /Twitter
AHMEDABAD: Lebih daripada satu objek yang kelihatan seperti bola logam jatuh di beberapa buah kampung di negeri Gujarat, India baru-baru ini.
Objek itu ditemui di kampung Bhale Khambholaj dan Rampura.
Menurut media India, bola logam hitam besar yang pertama jatuh dari langit di kampung Bhalej di daerah Anand, Gujarat pada kira-kira jam 4.45 petang pada 12 Mei lalu.
Berat bola itu kira-kira 5 kilogram.
Serpihan logam serupa juga ditemui di kampung Khambholaj dan Rampura.
Bola logam hitam dan perak turut ditemui di Umreth dan Nadiad di daerah Kheda.
Sebuah pasukan dari Makmal Sains Forensik sedang memeriksa serpihan dan bola logam tersebut bagi menentukan apakah sebenarnya objek tersebut.
Bagaimanapun, seorang ahli astronomi, Jonathan McDowell di Pusat Astrofizik Smithsonian Harvard, berteori bahawa ia kemungkinan serpihan daripada roket. - Agensi
*Berita asal di Sinar Harian
#objek misteri #bola logam #Bhale Khambholaj #Gujarat