DUNIA

Penduduk LA masih belum boleh pulang, rumah tercemar logam berat

Astro Awani 28/09/2025 | 01:00 MYT
Sebuah rumah terbakar ketika angin kencang mempercepatkan kebakaran hutan dahsyat di kawasan Los Angeles, memaksa penduduk berpindah, semasa insiden Eaton Fire di Altadena, California. - Foto fail/REUTERS
LOS ANGELES: Hampir sembilan bulan selepas kebakaran besar melanda kawasan Los Angeles, ratusan penduduk di Altadena masih belum dapat kembali ke rumah masing-masing apabila ujian terkini menunjukkan tahap pencemaran logam berat yang membimbangkan di kediaman mereka.


Ringkasan AI
  • Penduduk masih belum dapat pulang, hampir sembilan bulan selepas kebakaran Eaton Fire, akibat pencemaran logam berat seperti plumbum, arsenik dan zink di kediaman mereka.
  • Ujian tanah dan udara dedah risiko kesihatan, termasuk kehadiran bahan karsinogenik dan nanopartikel yang menembusi struktur rumah, melebihi paras selamat.
  • Proses pemulihan dijangka lama, dengan perdebatan antara insurans dan kontraktor, sementara pihak berkuasa lancar ujian tanah percuma dan beri amaran keselamatan.


Menurut laporan daripada agensi berita antarabangsa dan kajian oleh Universiti California Los Angeles (UCLA), rumah-rumah yang terselamat daripada api kini didapati tercemar dengan bahan toksik seperti plumbum, arsenik dan zink, yang boleh memberi kesan kesihatan serius kepada penduduk, terutamanya kanak-kanak dan wanita hamil.

“Jika tanah ini tercemar, kami tidak boleh tinggal di sini,” kata seorang penduduk Altadena yang enggan dikenali, sambil menunjukkan keputusan ujian tanah di halaman rumahnya yang melebihi paras selamat.

Kebakaran yang berlaku pada Januari 2025, dikenali sebagai Eaton Fire, telah meragut 31 nyawa dan memusnahkan lebih 16,000 bangunan di kawasan Altadena dan Pacific Palisades.
Walaupun ada rumah yang terselamat dari api, asap tebal dan bahan kimia daripada barangan terbakar seperti bateri, cat lama dan perabot telah meresap ke dalam struktur bangunan dan tanah sekitar.

Ujian udara dan tanah yang dijalankan oleh pasukan penyelidik mendapati kehadiran kromium heksavalen, bahan karsinogenik, serta nanopartikel yang boleh menembusi ruang dalaman dengan mudah.

Lebih 1,500 sampel tanah telah diuji, dan ratusan daripadanya menunjukkan paras plumbum melebihi 200 ppm, jauh melebihi tahap selamat untuk kawasan kediaman.

Penduduk seperti Karen Girard, seorang pereka berusia 58 tahun, meluahkan rasa kecewa apabila rumahnya yang terselamat daripada api kini tidak lagi selamat untuk didiami.

“Saya sedar bahawa walaupun rumah ini masih berdiri, ia mungkin sudah hilang dari hidup saya,” katanya kepada AFP.

Isu pencemaran ini turut mencetuskan perdebatan antara syarikat insurans dan kontraktor pemulihan.

Ada yang mencadangkan agar keseluruhan struktur rumah dibersihkan dan perabot diganti, manakala pihak insurans pula hanya mencadangkan penggunaan vakum khas untuk menyingkirkan zarah halus.

Pihak berkuasa kesihatan awam Los Angeles telah melancarkan program ujian tanah percuma dan menyeru penduduk agar mengambil langkah berjaga-jaga sebelum kembali ke rumah masing-masing.

Namun, proses pemulihan dijangka mengambil masa berbulan-bulan, malah mungkin bertahun.






#kebakaran besar #pencemaran #logam berat #kesan kesihatan