[TERKINI] Polis Kenal Pasti Peserta Program Motivasi Rumah Tangga eHati – Amaran Tangkapan Jika Enggan Bekerjasama – Ikuti Perkembangan Di Sini
INTERNATIONAL

Penduduk Syria di Damsyik optimis penarikan sekatan ekonomi EU beri manfaat

Agensi 21/05/2025 | 01:20 MYT
Penduduk Syria di Damsyik optimis selepas barisan Menteri Luar Kesatuan Eropah (EU) pada Selasa bersetuju untuk menarik balik sekatan ekonomi terhadap Syria. - Gambar Agensi
DAMSYIK: Penduduk Syria di Damsyik optimis selepas barisan Menteri Luar Kesatuan Eropah (EU) pada Selasa bersetuju untuk menarik balik sekatan ekonomi terhadap Syria.

Ahli farmasi, Elian Mabardi berkata, manfaat penarikan sekatan ekonomi dapat memberi kebaikan penduduk Arab Syria dan dapat dirasai dengan segera.

"Penarikan sekatan ekonomi oleh mana-mana pihak di dunia sama ada Eropah, Amerika atau mana-mana negara lain, adalah demi manfaat rakyat Arab Syria.

"Sudah tentu, kami berasa optimis dengan perkara ini. Dengan izin Tuhan, kemakmuran akan bermula dalam tempoh yang singkat," katanya.

Dalam pada itu, pemilik sebuah pasar raya tempatan, Osama menyifatkan keputusan EU itu sebagai satu langkah yang cemerlang.

"Ini adalah satu langkah yang sangat baik. Pada pendapat saya, terima kasih kepada Presiden Ahmed al-Sharaa serta pasukannya atas kepantasan langkah-langkah yang diambil.

"Pada pendapat saya, sekatan itu sebenarnya ditujukan kepada rakyat Syria dan Alhamdulillah, ini satu langkah yang sangat baik untuk rakyat melihat peningkatan dan perubahan yang besar," katanya.

Perubahan dasar EU ini berlaku selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberitahu minggu lalu bahawa beliau akan mengarahkan penarikan balik sekatan Amerika terhadap Syria.

Ahmad al-Sharaa menyambut baik keputusan Trump menarik balik sekatan yang telah lama dikenakan ke atas Syria dan menyifatkannya sebagai detik perubahan penting bagi masa depan negara itu.

Namun, beberapa negara anggota EU berpendapat, langkah-langkah itu masih belum mencukupi untuk menyokong peralihan politik dan pemulihan ekonomi Syria. - Agensi





#Donald Trump #Kesatuan Eropah #Syria #sekatan ekonomi #Damsyik