Skip to main content

Dunia

Penemuan batu berukir bongkar patung gergasi Firaun Ramses II di Mesir

Penduduk kampung temui artifak Firaun Ramses II di Mesir selepas jumpa batu berukir; penemuan bawa kepada kepala patung gergasi purba. - Foto X/Interesting AF
Penduduk kampung temui artifak Firaun Ramses II di Mesir selepas jumpa batu berukir; penemuan bawa kepada kepala patung gergasi purba. - Foto X/Interesting AF

Advertisement

KAHERAH: Penemuan sebuah batu berukir oleh seorang penduduk kampung di luar rumahnya di Mesir membawa kepada penemuan kepala patung gergasi Firaun Ramses II serta beberapa artifak purba lain, lapor Anadolu Ajansi memetik pihak berkuasa pada Rabu.

Menurut Kementerian Pelancongan dan Antikuiti Mesir, Khaled el-Shahat Khalil menemukan batu itu ketika mengusahakan tanahnya di kampung Behbeit el-Hagar, wilayah Gharbia di utara negara berkenaan, sebelum memaklumkan penemuan itu kepada pihak berkuasa tempatan. 

Kerja-kerja penggalian di lokasi itu menemukan kepala patung Ramses II setinggi 1.6 meter yang menggambarkan firaun berkenaan memakai mahkota berkembar, melambangkan penyatuan Mesir Hulu dan Mesir Hilir.

Ahli arkeologi turut menemukan sebahagian besar sebuah lagi patung diraja berukuran 2.4 meter yang dipercayai menggambarkan Ramses II. Bahagian kepala patung itu masih mengekalkan ciri-ciri wajah yang terpelihara dengan baik. 

Berhampiran lokasi berkenaan, satu bongkah granit merah jambu berukuran 1.3 meter turut ditemukan dengan ukiran hieroglif, termasuk dua gelaran diraja Ramses II.

Menteri Pelancongan dan Antikuiti Sherif Fathy bersama Gabenor Gharbia Alaa Abdel Moaty melawat Khalil di kampungnya pada Rabu bagi memberikan penghargaan atas tindakannya melaporkan penemuan itu.

Khalil dan isterinya menerima sijil penghargaan serta tajaan menunaikan umrah ke Mekah sebagai pengiktirafan terhadap kejujuran dan inisiatif beliau.

Fathy berkata tindakan penduduk kampung itu memaklumkan penemuan berkenaan kepada pihak berkuasa membolehkan ahli arkeologi menjalankan kerja-kerja penggalian dan memelihara artifak yang ditemukan.

Behbeit el-Hagar yang terletak di Delta Sungai Nil, Mesir, turut menempatkan tinggalan sebuah kuil purba yang didedikasikan kepada dewi Isis.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement