Skip to main content

Dunia

Penerbangan dari Israel mendarat cemas di Bulgaria selepas ancaman bom

Sebuah pesawat Airbus A320-200 milik Austrian Airlines berlepas dari Lapangan Terbang Zurich pada 9 Januari 2018. - Foto fail/REUTERS
Sebuah pesawat Airbus A320-200 milik Austrian Airlines berlepas dari Lapangan Terbang Zurich pada 9 Januari 2018. - Foto fail/REUTERS

Advertisement

SOFIA: Sebuah pesawat Airbus A320 dalam penerbangan dari Tel Aviv ke Vienna terpaksa melakukan pendaratan kecemasan di Bulgaria susulan ancaman bom, menurut Kementerian Pengangkutan Bulgaria.

Penerbangan Austrian Airlines OS82 dilaporkan berada berhampiran sempadan Romania apabila kru menerima ancaman bom sebelum memutuskan untuk mendarat di ibu negara Bulgaria, Sofia, pada Ahad.

Kementerian Pertahanan Bulgaria memaklumkan, sebuah jet pejuang MiG-29 milik tentera udara negara itu dikerahkan untuk mengiringi pesawat berkenaan sehingga selamat mendarat di Lapangan Terbang Sofia.

Maklumat awal menunjukkan pesawat itu membawa enam kru dan 51 penumpang, yang kesemuanya telah keluar dari pesawat selepas pendaratan.

Austrian Airlines memberitahu agensi berita antarabangsa AFP bahawa pemeriksaan keselamatan telah dijalankan ke atas pesawat berkenaan.

“Selepas pemeriksaan pesawat selesai, penumpang akan ditempah semula ke penerbangan alternatif secepat mungkin,” menurut syarikat penerbangan itu.

Kementerian Pengangkutan Bulgaria berkata, satu pasukan tindak balas krisis telah ditubuhkan, manakala pihak berkuasa berkaitan memulakan siasatan berhubung kejadian tersebut.

Menurut laman penjejakan penerbangan FlightAware, penerbangan Austrian Airlines OS82 berlepas dari Lapangan Terbang Ben Gurion di Tel Aviv pada Ahad, jam 6.46 petang waktu tempatan dan mendarat kira-kira tiga jam kemudian di Lapangan Terbang Vasil Levski, Sofia pada jam 9.43 malam.

Data Flightradar24 pula menunjukkan pesawat itu memasuki ruang udara Romania kira-kira jam 9.10 malam sebelum berpatah balik ke arah selatan menuju Bulgaria.

Maklumat daripada platform penjejakan penerbangan ADS-B Exchange menunjukkan pesawat tersebut turut menghantar kod squawk 7700, iaitu isyarat kecemasan umum, sekitar waktu yang sama.

Insiden flydubai

Insiden terbaharu itu berlaku kira-kira sebulan selepas sebuah pesawat flydubai yang membawa 174 penumpang dalam perjalanan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) ke Tel Aviv berdepan kecemasan apabila seorang pembantu juruterbang didakwa menyerang juruterbang menggunakan kapak dalam cubaan menyebabkan pesawat terhempas.

Pesawat itu menjunam kira-kira 17,000 kaki (5,180 meter) sebelum berjaya dikawal semula oleh juruterbang lain selepas penumpang dan kru menundukkan suspek.

Penerbangan berkenaan kemudian dilencongkan dan terpaksa melakukan pendaratan kecemasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Sultan bin Abdulaziz di Tabuk, barat laut Arab Saudi.

Pihak berkuasa UAE mendakwa pembantu juruterbang itu dalam misi “bunuh diri” untuk menyebabkan pesawat terhempas di Lapangan Terbang Ben Gurion, Tel Aviv.

Pembantu juruterbang berkenaan, Hamam Al-Hammami, warga Oman, kemudiannya didakwa atas kesalahan berkaitan keganasan di UAE.

Susulan kejadian itu, kerajaan Israel mengarahkan pemeriksaan identiti dilakukan terhadap semua juruterbang yang mengendalikan penerbangan memasuki negara berkenaan.

Must Watch Video

Advertisement