DUNIA

Penerbangan di lapangan terbang Berlin digantung akibat ais hitam

Bernama 06/02/2026 | 03:25 MYT
Proses nyahais dijalankan ke atas sebuah pesawat Lufthansa di Lapangan Terbang Brandenburg Berlin (BER) di Berlin, Jerman, 9 Jan 2026. - Gambar fail/REUTERS
BERLIN: Semua operasi penerbangan di lapangan terbang antarabangsa Berlin dihentikan sementara pada Khamis akibat ais hitam, menurut seorang jurucakap, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

"Permukaan landasan licin seperti kaca. Keadaan ini membahayakan nyawa dan keselamatan," katanya.

Beliau berkata masih belum jelas bila operasi penerbangan akan disambung semula. Namun, memandangkan larangan penerbangan pada waktu malam akan berkuat kuasa tidak lama lagi, keputusan mengenai operasi seterusnya akan dibuat pada pagi Jumaat.

Terdahulu, banyak penerbangan telah dibatalkan sepanjang hari di Lapangan Terbang Berlin Brandenburg (BER), yang terletak di pinggir selatan ibu negara itu.

Pada awal hari, tiada pesawat dapat berlepas selepas hujan beku menyelaputi pesawat dengan ais, menyebabkan proses nyahais mengambil masa sehingga satu jam bagi setiap pesawat.

Pesawat pertama berlepas pada lewat pagi, namun jadual penerbangan selepas itu mengalami kelewatan ketara serta banyak pembatalan.

Menurut jurucakap berkenaan, sebanyak 35 daripada 180 penerbangan berlepas yang dirancang telah dibatalkan menjelang tengah hari (1100 GMT), diikuti oleh puluhan lagi selepas itu.

Ibu negara Jerman itu mengalami cuaca sejuk berpanjangan selama beberapa minggu, disertai salji dan hujan beku.

-- BERNAMA

#Lapangan Terbang Berlin #penerbangan digantung #ais hitam #cuaca buruk #Jerman