DUNIA

Penerbangan dilencongkan di Norway selepas kemunculan objek disyaki dron

Bernama 29/09/2025 | 05:30 MYT
Beberapa penerbangan di Norway dilencongkan akibat kemunculan dron di zon larangan terbang, termasuk di Bardufoss dan Bronnoysund. -Gambar hiasan/Unsplash
COPENHAGEN: Beberapa penerbangan di Norway telah dilencongkan selepas kemunculan objek disyaki dron, lapor media tempatan lewat Ahad, menurut Agensi Berita Jerman (dpa).


Ringkasan AI
  • Beberapa penerbangan di Norway dilencongkan akibat kemunculan dron di zon larangan terbang, termasuk di Bardufoss dan Bronnoysund.
  • Insiden gangguan dron turut berlaku di Denmark, mendorong larangan penerbangan dron awam sempena sidang kemuncak EU di Copenhagen.
  • Lapangan terbang Bardufoss ditutup sementara dan penerbangan dari Oslo terpaksa berpatah balik, namun tiada kecederaan dilaporkan.


Satu penerbangan dari Oslo ke Lapangan Terbang Bardufoss di wilayah Troms, utara Norway terpaksa berpatah balik pada lewat malam, lapor penyiar NRK memetik syarikat penerbangan Norwegian.

Lapangan terbang itu ditutup sementara waktu.

Terdahulu pada Ahad, beberapa dron turut dilaporkan berada di dalam zon larangan terbang di Lapangan Terbang Bronnoysund di wilayah Nordland. Dalam insiden itu juga, satu penerbangan dilencongkan, menurut NRK memetik pengendali lapangan terbang Avinor.

Negara jiran Denmark turut berdepan insiden dron dalam beberapa hari kebelakangan ini. Beberapa dron dikesan di lapangan terbang, mendorong pihak berkuasa mengenakan larangan terhadap penerbangan dron awam sehingga Jumaat.

Kementerian Pengangkutan Denmark berkata langkah itu berkaitan dengan sidang kemuncak Kesatuan Eropah yang berlangsung di Copenhagen minggu ini.

Bermula Isnin, semua dron awam dilarang terbang di ruang udara Denmark.

-- BERNAMA


#kemunculan dron #zon larangan terbang #Bardufoss dan Bronnoysund