DUNIA

Penerbangan tertangguh dua jam gara-gara penemuan ular dalam ruang kargo pesawat

Astro Awani 02/07/2025 | 11:13 MYT
Penerbangan domestik Virgin Australia tergendala hampir dua jam selepas seekor ular green tree snake ditemukan di ruang kargo pesawat di Lapangan Terbang Melbourne. -Gambar hiasan/Adobe Stock
MELBOURNE: Penerbangan domestik Virgin Australia dilapor tergendala selama hampir dua jam pada Selasa selepas seekor ular ditemukan di dalam ruang kargo ketika penumpang sedang menaiki pesawat di Lapangan Terbang Melbourne.

Ringkasan AI
  • Penerbangan domestik Virgin Australia tergendala hampir dua jam selepas seekor ular green tree snake ditemukan di ruang kargo pesawat di Lapangan Terbang Melbourne.
  • Ular berjaya ditangkap oleh penangkap profesional sebelum sempat menyelinap ke dalam struktur pesawat, dipercayai terbawa dari bagasi penumpang semasa transit dari Brisbane.
  • Tiada kecederaan dilaporkan dan penerbangan diteruskan selepas pelepasan keselamatan, manakala ular diserahkan kepada doktor haiwan untuk penempatan mengikut peraturan kuarantin Australia.

Ular sepanjang 60 sentimeter itu dikenal pasti sebagai spesies tidak berbisa, green tree snake, dan berjaya ditangkap penangkap ular profesional, Mark Pelley, yang dipanggil ke lokasi.
“Saya sangka ia mungkin berbisa kerana pencahayaan yang malap dalam ruang kargo.
"Kalau ia sempat menyelinap ke dalam panel pesawat, seluruh pesawat mungkin perlu dikosongkan,” katanya kepada media tempatan.
Pelley berkata dia hanya mempunyai satu peluang untuk menangkap ular itu sebelum ia bersembunyi lebih jauh ke dalam struktur pesawat.
“Syukurlah saya dapat tangkap pada cubaan pertama. Kalau tidak, kami mungkin masih membongkar pesawat Boeing 737 itu sekarang,” tambahnya.
Pihak berkuasa percaya ular itu mungkin terbawa dalam bagasi penumpang dari Brisbane dan terlepas ke ruang kargo semasa transit.
Di bawah peraturan kuarantin Australia, ular tersebut tidak boleh dilepaskan semula ke habitat liar dan kini diserahkan kepada doktor haiwan untuk penempatan dengan penjaga berlesen.
Tiada kecederaan dilaporkan dan penerbangan VA337 ke Brisbane berlepas selepas menerima pelepasan keselamatan.
Virgin Australia memuji tindakan pantas kakitangan dan kesabaran penumpang sepanjang insiden itu.
#Virgin Australia #pesawat tergendala #ular dalam ruang kargo #green tree snake