[TERKINI] Senarai Lengkap Kabinet Baharu MADANI – Siapa Pegang Portfolio Utama?
DUNIA

Penerima Hadiah Nobel Iran dimasukkan ke hospital selepas ditahan secara ganas, kata keluarga

Astro Awani 16/12/2025 | 00:10 MYT
Ruang kosong yang menandakan ketiadaan penerima Hadiah Keamanan Nobel, Narges Mohammadi, semasa majlis penyampaian anugerah di Dewan Bandaraya Oslo, Norway. - Foto REUTERS
TEHRAN: Aktivis hak asasi manusia Iran dan penerima Hadiah Nobel Keamanan 2023, Narges Mohammadi, telah dimasukkan ke hospital sebanyak dua kali selepas mengalami kecederaan akibat penahanan secara ganas oleh pasukan keselamatan Iran pada 12 Disember lalu, menurut kenyataan keluarganya.

Narges, yang terkenal dengan kempen tiga dekad menentang hukuman mati dan memperjuangkan hak wanita di Iran, ditahan semula selepas menghadiri majlis memperingati peguam hak asasi manusia Khosrow Alikordi, yang meninggal dunia dalam keadaan mencurigakan awal bulan ini di Mashhad.

Menurut Yayasan Narges, Narges mengalami hentakan kuat berulang kali di kepala dan leher ketika ditahan, dan keadaannya dilaporkan lemah semasa panggilan telefon pertamanya dari penjara.

“Keadaan fizikalnya tidak baik, dan beliau kedengaran tidak sihat,” kata yayasan itu dalam satu kenyataan.

Pendakwa Mashhad, Hasan Hematifar, mendakwa Narges dan saudara lelaki Alikordi telah mengeluarkan kenyataan “provokatif” semasa majlis tersebut, termasuk menyeru hadirin melaungkan slogan yang bertentangan dengan norma dan mengganggu ketenteraman awam.

Narges sebelum ini menerima Hadiah Nobel Keamanan ketika masih dipenjarakan di Penjara Evin yang terkenal di Tehran.

Beliau dibebaskan buat sementara waktu atas sebab kesihatan pada 2024, namun terus bersuara menentang penindasan kerajaan terhadap aktivis sivil.

Aktivis masyarakat sivil Iran, termasuk pengarah filem terkenal Jafar Panahi, kini menuntut pembebasan segera dan tanpa syarat terhadap Narges serta aktivis lain yang ditahan dalam insiden terbaru itu.






#Narges Mohammadi #kecederaan #Hospital #Hadiah Nobel