DUNIA

Peneroka haram Israel sekali lagi bakar rumah penduduk Palestin di Tebing Barat

Bernama 29/01/2026 | 14:00 MYT
Tentera Israel dan peneroka haram Israel telah membunuh sekurang-kurangnya 1,109 rakyat Palestin di Tebing Barat, termasuk Baitulmuqaddis Timur, serta mencederakan hampir 11,000 yang lain sejak Oktober 2023. - Foto REUTERS
ISTANBUL: Aktivis memaklumkan bahawa peneroka haram Israel membakar rumah penduduk Palestin dalam komuniti Badwi di Khallet al-Sidra di Tebing Barat yang diduduki semalaman, lapor Anadolu Ajansi (AA).


Ringkasan AI
  • Peneroka haram Israel membakar rumah penduduk Palestin di Khallet al-Sidra, Tebing Barat, menimbulkan kemarahan aktivis.
  • Kejadian ini merupakan yang ketiga berlaku dalam tempoh tiga bulan di Kampung Mukhamas, Baitulmuqaddis, tanpa tindakan undang-undang dari pihak berkuasa Israel.
  • Aktivis menyeru komuniti antarabangsa untuk ambil tindakan terhadap serangan berterusan peneroka haram Israel di Tebing Barat, yang menyebabkan kematian 1,109 rakyat Palestin serta kecederaan hampir 11,000 yang lain sejak Oktober 2023.


Beberapa hantaran di platform media sosial X berkongsi imej dan video yang menunjukkan rumah penduduk yang terbakar di Kampung Mukhamas, di timur laut Baitulmuqaddis.

"Ia berlaku lagi," tulis seorang aktivis, sambil mendakwa peneroka haram Israel menyerang komuniti berkenaan dan membakar rumah penduduk.

Aktivis lain berkata kejadian itu menandakan "kali ketiga dalam tempoh tiga bulan" rumah di dalam atau berhampiran Kampung Mukhamas dibakar, sambil menuduh pihak berkuasa Israel membiarkan serangan itu berlaku tanpa kebertanggungjawapan.

"Satu lagi malam keganasan peneroka haram Israel di Tebing Barat," menurut satu hantaran lain, sambil menambah bahawa "tiada pendakwaan" dibuat berhubung insiden serupa sebelum ini.

Beberapa hantaran mendakwa tentera Israel berada berhampiran lokasi kejadian semasa kejadian tetapi tidak campur tangan.

Aktivis menggesa komuniti antarabangsa menangani "corak serangan peneroka haram Israel yang berterusan terhadap komuniti Palestin di Tebing Barat yang diduduki".

Tentera Israel dan peneroka haram Israel telah membunuh sekurang-kurangnya 1,109 rakyat Palestin di Tebing Barat, termasuk Baitulmuqaddis Timur, serta mencederakan hampir 11,000 yang lain sejak Oktober 2023.

-- BERNAMA
#peneroka haram Israel #bakar rumah #penduduk Palestin #Tebing Barat