Pengacara veteran, Larry King, dirawat di hospital akibat jangkitan COVID-19

Agensi
Januari 3, 2021 05:37 MYT
King, 87, menghidap diabetes Jenis 2 dan mempunyai sejarah isu perubatan yang panjang termasuk serangan jantung dan barah paru-paru serta angina, iaitu masalah pengurangan aliran darah ke jantung. - Twitter / kingsthings
WASHINGTON: Pengacara program bual bicara veteran Amerika Syarikat, Larry King, dimasukkan ke hospital selepas dijangkiti COVID-19, lapor media negara itu.
Dengan memetik sumber terdekat keluarga, King yang merupakan personaliti televisyen bertaraf 'legenda' di CNN, sejak lebih seminggu lalu telah dimasukkan ke Cedars Sinai Medical Center di Los Angeles.
King, 87, menghidap diabetes Jenis 2 dan mempunyai sejarah isu perubatan yang panjang termasuk serangan jantung dan barah paru-paru serta angina, iaitu masalah pengurangan aliran darah ke jantung.
Terkenal dengan imej melipat lengan kemeja, tali leher berwarna-warni, suspender dan cermin mata besar, King pernah menemu bual banyak nama-nama besar.
Antaranya ialah presiden-presiden Amerika Syarikat, pemimpin dunia seperti Yasser Arafat dan Vladimir Putin, hingglah kepada selebriti seperti Frank Sinatra, Marlon Brando dan Barbra Streisand.
King menerajui pengacaraan program Larry King Live selama 25 tahun, dan bersara pada 2010. Beliau terus menjalankan temu bual di saluran webnya sebelum muncul kembali dengan Larry King Now yang bersiaan di Ora TV, iaitu sebuah rangkaian digital.
#Larry King #COVID-19 #Pengacara #hos televisyen #pandemik #masalah kesihatan #cedar sinai