Skip to main content

Dunia

Pengaman UNIFIL Perancis jadi sasaran tentera Israel hujung minggu lepas

 Tentera Israel ceroboh selatan Lubnan, langgar resolusi PBB - UNIFIL
Tiga insiden antara tentera Israel dan kontinjen UNIFIL Perancis yang berlaku pada Sabtu di kawasan selatan Naqoura dilaporkan tidak menyebabkan sebarang kecederaan. - Gambar fail/ Bernama

ISTANBUL: Kontinjen Perancis dalam Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) dilaporkan menjadi sasaran sebanyak tiga kali oleh tentera Israel di selatan Lubnan pada hujung minggu lepas, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik penyiar BFM TV pada Selasa.

Tiga insiden antara tentera Israel dan kontinjen UNIFIL Perancis yang berlaku pada Sabtu di kawasan selatan Naqoura dilaporkan tidak menyebabkan sebarang kecederaan.

Advertisement

Pada pagi Sabtu, tentera Israel yang ditempatkan di utara Naqoura didakwa mengacukan senjata ke arah Ketua Staf UNIFIL Jeneral Paul Sanzey dan pembantunya ketika mereka dalam perjalanan pulang dari Beirut. 

Mereka diarahkan meninggalkan kawasan itu, namun kedua-dua pegawai Perancis tersebut dapat meneruskan perjalanan ke Naqoura.

Lewat hari tersebut, tentera Israel dilaporkan melepaskan tembakan ke arah konvoi logistik yang sedang dalam misi bekalan, yang turut melibatkan pasukan pengaman Perancis.

Akhir sekali, pada lewat petang, komander Force Commander Reserve -- sebuah unit tindak balas pantas di bawah arahan langsung ketua UNIFIL yang dianggotai oleh batalion Perancis-Finland -- telah menjadi sasaran tembakan daripada sebuah kereta kebal Israel.

Menteri Luar Perancis Jean-Noel Barrot mengutuk insiden tersebut pada lewat Isnin melalui satu hantaran di X.

"Pelanggaran keselamatan dan intimidasi oleh kakitangan tentera Israel terhadap kakitangan PBB ini tidak boleh diterima dan tidak dapat dijustifikasikan, terutamanya apabila prosedur penyelarasan telah dipatuhi. Kecaman ini telah disampaikan dengan nada paling keras kepada duta Israel di Paris," katanya.

Israel telah membedil Lubnan dengan serangan udara dan melancarkan serangan darat di selatan sejak serangan rentas sempadan oleh Hezbollah pada 2 Mac.

Rantau itu berada dalam keadaan berjaga-jaga sejak Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan udara ke atas Iran pada 28 Feb, mengorbankan lebih 1,340 orang setakat ini, termasuk Pemimpin Agung ketika itu Ayatollah Ali Khamenei.

Tehran telah bertindak balas dengan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel, Jordan, Iraq, dan negara-negara Teluk yang menempatkan aset tentera AS, sehingga menyebabkan kematian dan kerosakan infrastruktur selain mengganggu pasaran global serta penerbangan.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

Must Watch Video