DUNIA

Pengarah Hospital Al-Shifa sayu terima mayat enam ahli keluarga ketika bertugas

Astro Awani 21/09/2025 | 09:23 MYT
Jemaah menunaikan solat jenazah sebelum pengebumian rakyat Palestin yang terbunuh dalam serangan udara Israel di Hospital Al-Shifa, 8 September 2025. —Gambar fail/Reuters
GAZA: Pengarah Hospital Al-Shifa, Dr Mohammed Abu Salmiya berdepan detik memilukan apabila menerima mayat enam ahli keluarganya yang terkorban dalam serangan udara Israel ketika sedang bertugas di hospital tersebut.


Ringkasan AI
  • Pengarah Hospital Al-Shifa, Dr Mohammed Abu Salmiya kehilangan enam ahli keluarga dalam serangan udara Israel ketika sedang bertugas, termasuk dua cucu dan saudara terdekat.
  • Serangan berlaku di kem pelarian Al-Shati, Gaza, ketika Israel meningkatkan operasi ketenteraan; hospital kini beroperasi dalam keadaan genting dengan korban terus meningkat.
  • Lebih 65,200 rakyat Palestin dilaporkan terbunuh sejak Oktober 2023, dengan krisis kemanusiaan semakin meruncing dan beberapa kawasan di Gaza diisytiharkan dalam keadaan kebuluran rasmi.


Serangan berlaku di kediaman keluarga di kem pelarian Al-Shati, barat Gaza City, yang dihuni oleh beberapa generasi, lapor Egypt Independent.

Antara yang terkorban ialah saudara lelaki, dua anak saudaranya, isteri kepada anak saudara, serta dua orang cucu.

Tujuh lagi ahli keluarga cedera, termasuk adik-beradik dan anak saudara beliau.

Rakaman video menunjukkan Dr Abu Salmiya dalam pakaian doktor, berlutut di sisi mayat keluarganya di hospital.

“Saya terkejut dan hancur luluh melihat mayat mereka,” katanya kepada AFP.

Beliau menyifatkan keadaan di Gaza sebagai tidak menentu dan penuh risiko, di mana sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa serangan pada bila-bila masa.

Hospital Al Shifa kini beroperasi dalam keadaan genting, dengan ambulans tiba tanpa henti membawa mangsa yang cedera dan terkorban.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Gaza, Dr Munir Al-Bursh menyifatkan insiden itu sebagai simbol penderitaan rakyat Gaza dan mendoakan kekuatan buat keluarga mangsa.

Pasukan pertahanan awam Gaza menyatakan bahawa mereka masih berusaha mengeluarkan seorang mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan.

Serangan ini berlaku ketika Israel meningkatkan operasi ketenteraan di Bandar Gaza, dengan lebih 120 sasaran diserang dan lebih 90 kematian direkodkan pada hari Sabtu sahaja.

Serangan Israel yang semakin hebat menyebabkan ratusan ribu penduduk Gaza melarikan diri, namun ramai masih terperangkap kerana kekangan kewangan dan fizikal.

Seorang penduduk, Mohammed Nassar, berkata dia terlalu letih dan tidak mampu berpindah bersama tiga anak perempuannya.

“Kematian adalah lebih baik,” katanya.

Manakala Raeda al-Amareen pula berkata keluarganya tidak mempunyai walau 10 shekel (RM12.50) untuk membeli roti, apatah lagi untuk berpindah.

Kos pemindahan dilaporkan mencecah AS$1,500 hingga AS$2,000 (RM6,300–RM8,400) bagi jarak hanya 30 kilometer.

Tentera Israel menggesa penduduk berpindah ke “zon kemanusiaan” di Al-Mawasi, namun kawasan itu juga pernah menjadi sasaran serangan.

Sekurang-kurangnya 20 orang dilaporkan terbunuh dalam siri serangan terbaru pada Sabtu, menurut agensi pertahanan awam Gaza.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, lebih 65,200 rakyat Palestin telah terbunuh sejak 7 Oktober 2023.

Serangan berterusan ini turut mencetuskan kebimbangan global terhadap krisis kemanusiaan yang semakin meruncing, dengan beberapa kawasan di Gaza kini diisytiharkan berada dalam keadaan kebuluran rasmi.









#Hospital Al Shifa #Mohammed Abu Salmiya #enam ahli keluarga #serangan udara Israel #kem pelarian Al-Shati Gaza