INTERNATIONAL
Pengarah Palestin-pemenang Oscar, Hamdan Ballal dibebaskan dari tahanan Israel

Basel Adra, Rachel Szor, Hamdan Ballal dan Yuval Abraham mengambil gambar bersama anugerah Oscar yang dimenanginya menerusi dokumentari 'No Other Land'. - Foto REUTERS
HAMDAN Ballal, pengarah bersama filem dokumentari Palestin yang memenangi Oscar, No Other Land, telah dibebaskan setelah ditahan oleh tentera Israel selepas diserang oleh penduduk penempatan.
Dalam satu hantaran di platform media sosial X pada hari Selasa, rakannya yang juga pengarah bersama, Yuval Abraham, menulis: “Selepas digari sepanjang malam dan dipukul di pangkalan tentera, Hamdan Ballal kini bebas dan dalam perjalanan pulang ke rumah bersama keluarganya.”
Associated Press melaporkan, wartawan agensi itu turut melihat Ballal dan dua orang Palestin lain meninggalkan balai polis di penempatan haram Israel Kiryat Arba di Tebing Barat yang diduduki.
Ballal dilaporkan mengalami lebam di wajahnya dan terdapat kesan darah pada pakaiannya.Menurut Ballal, dia ditahan di sebuah pangkalan tentera dan terpaksa tidur di bawah pendingin hawa yang sangat sejuk.
“Saya ditutup mata selama 24 jam,” katanya kepada AP.
“Sepanjang malam, saya kesejukan. Ia adalah sebuah bilik gelap, saya tidak dapat melihat apa-apa… saya hanya mendengar suara tentera yang mentertawakan saya.”
Lea Tsemel, peguam yang mewakili tiga lelaki itu berkata, kesemua anak guamnya hanya menerima rawatan minimum atas kecederaan akibat serangan tersebut dan tidak dibenarkan bertemu mereka selama beberapa jam selepas penahanan.
Sebelum ini, Tsemel memaklumkan, ketiga-tiga mereka dituduh membaling batu ke arah seorang penduduk penempatan muda, namun mereka menafikan tuduhan itu.
Ballal dan pengarah lain No Other Land, yang mengetengahkan perjuangan hidup di bawah pendudukan Israel, telah tampil di pentas Anugerah Akademi ke-97 di Los Angeles awal bulan ini selepas filem mereka memenangi Oscar untuk kategori Dokumentari Terbaik.
Pada Isnin, sekumpulan penduduk penempatan - ada yang bertopeng, bersenjata, dan berpakaian seragam tentera menyerang kampung Susiya di Tebing Barat yang diduduki ketika penduduk sedang berbuka puasa.
Penduduk memberitahu AP, tentera yang tiba di lokasi mengacukan senjata ke arah penduduk Palestin, manakala penduduk penempatan terus membaling batu.
Lamia Ballal yang juga isteri Hamdan berkata, dia mendengar suaminya dipukul di luar rumah mereka ketika dia berlindung di dalam bersama tiga anak mereka.
Dia mendengar suaminya menjerit, “Saya sedang mati!” dan meminta ambulans.
Apabila dia mengintai keluar melalui tingkap, Lamia melihat tiga lelaki berseragam memukul suaminya
dengan hulu senapang mereka, sementara seorang lelaki berpakaian biasa merakam kejadian tersebut.
“Sudah tentu, selepas Oscar, mereka datang untuk menyerang kami lebih lagi,” kata Lamia. “Saya berasa sangat takut.”
Organisasi hak asasi manusia, Amnesty International menyeru pihak yang terlibat dalam serangan tersebut diambil tindakan.
“Hamdan Ballal telah diculik secara paksa oleh tentera Israel selepas diserang oleh penduduk penempatan Israel yang menyerang rakyat Palestin… dia kini telah dibebaskan, tetapi mereka yang melancarkan serangan mesti dipertanggungjawabkan,” kata Amnesty dalam satu hantaran di X.
Ballal berkata, dia diserang oleh seorang penduduk penempatan terkenal yang pernah mengugutnya sebelum ini.
Penduduk penempatan itu dilihat bersama beberapa lelaki bertopeng dalam sebuah video yang tersebar luas pada bulan Ogos, di mana mereka mengancam Ballal.
“Ini tanah saya, Tuhan yang berikan,” kata penduduk penempatan itu dalam video tersebut sambil menggunakan kata-kata kesat dan cuba mencetuskan pergaduhan dengan Ballal. “Lain kali, ia tidak akan berakhir dengan baik,” tambahnya.
Pada Selasa, kesan darah kecil masih dapat dilihat di luar rumah keluarga Ballal dan cermin depan serta tingkap kereta mereka pecah.
Penduduk kampung menunjukkan tangki air berhampiran yang berlubang, didakwa akibat serangan penduduk penempatan.
Basel Adra, seorang lagi pengarah No Other Land dan aktivis Palestin yang terkenal di kawasan itu berkata, serangan oleh penduduk penempatan dan tentera Israel semakin meningkat selepas kemenangan Oscar tersebut.
“Tiada siapa boleh berbuat apa-apa untuk menghentikan kekejaman ini, dan tentera hanya berada di sini untuk membantu serangan itu,” katanya.
“Kami sedang hidup dalam hari-hari gelap di sini, di Gaza dan di seluruh Tebing Barat… tiada siapa yang menghentikan ini.”
Tentera Israel pada Isnin berkata, mereka telah menahan tiga rakyat Palestin yang disyaki membaling batu ke arah pasukan keselamatan serta seorang penduduk Israel yang terlibat dalam apa yang mereka gambarkan sebagai konfrontasi ganas.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami