Pengawal sempadan Taliban, Iran bertempur di sempadan Afghanistan - Laporan

Bernama
Mei 27, 2023 22:20 MYT
Pasukan Taliban bertempur dengan pengawal sempadan Iran di sempadan Iran-Afghanistan pada Sabtu.
MOSCOW: Pasukan Taliban bertempur dengan pengawal sempadan Iran di sempadan Iran-Afghanistan pada Sabtu, lapor Sputnik yang memetik media Afghanistan.
Tolo News melaporkan pengawal sempadan Iran menyekat lintasan sempadan ke wilayah timur Iran, Sistan dan Baluchestan.
Setakat ini, pasukan keselamatan Taliban tidak mengesahkan mahupun menafikan laporan media itu.
Pertempuran sempadan antara militan Taliban dan pengawal sempadan Iran kali terakhir dilaporkan di kawasan itu pada Mac. Pegawai Taliban mendakwa pertempuran itu disebabkan salah faham.
Iran tidak mengiktiraf kerajaan pimpinan Taliban dan telah menggesa kerajaan Afghanistan yang inklusif mengambil alih.
Negara itu menempatkan Hassan Kazemi Qomi sebagai utusan di Kabul untuk merundingkan isu-isu yang mendesak.
Pegawai dasar luar Taliban, Amir Khan Muttaqi, baru-baru ini bertemu utusan Iran di Kabul itu untuk membincangkan penyelarasan pengurusan sempadan Iran-Afghanistan, kata jurucakapnya Hafiz Zia Ahmad di media sosial.
-- BERNAMA
#Taliban #sempadan Iran #bertempur #Afghanistan