Seorang suspek pengebom berani mati yang menyamar dengan memakai baju seragam sekolah telah membunuh sekurang-kurangnya 48 orang pelajar dalam satu letupan di timur laut Nigeria malam tadi.

Amerika Syarikat (AS) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pantas mengutuk insiden serangan tersebut yang dipercayai disasarkan kepada sekolah berkurikulum Barat.

Letupan di Potiskum berkenaan memusnahkan sebahagian besar sekolah pelajar lelaki yang ketika itu sedang dalam perhimpunan pagi sebelum kelas bermula.

Insiden yang disifatkan sebagai serangan dahsyat oleh Presiden Goodluck Johnathan, berlaku sehari selepas sebuah rakaman video disebarkan oleh kumpulan pemberontak Boko Haram. Video itu menunjukkan ketua pemimpinnya, Abubakar Shekau, yang sekali lagi menolak pelawaan gencatan senjata dan rundingan damai daripada kerajaan Nigeria.

Setiausaha Agung PBB Ban Ki-moon menyeru pihak berkuasa Nigeria agar segera membawa dalang insiden berkenaan ke muka pengadilan.

Ki-moon sangat marah dengan kekerapan dan keganasan serangan terhadap institusi-institusi pendidikan di utara negara itu, kata jurucakapnya.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Negara AS, Jen Psaki turut mengecam serangan ganas tersebut dan mendesak agar pihak yang bertangggungjawab atas serangan itu diheret ke pengadilan.

Saksi kejadian berkata, mereka terdengar bunyi ledakan kuat yang kemudiannya meninggalkan kesan kemusnahan yang teruk termasuk anggota badan tercerai dan berselerakan. Seramai 79 orang lagi cedera dalam letupan itu.

Gabenor negeri Yobe, Ibrahim Gaidam telah mengarahkan penutupan semua sekolah awam di Potiskum dan menyelar kerajaan di Abuja kerana gagal mengawal pihak musuh.

Berlumuran darah

Seorang pelajar, Adamu Abdullahi berkata para pelajar di tengah-tengah kawasan letupan itu dilihat tercampak di segenap arah.

“Tubuh saya ditimpa oleh pelajar lain yang telah mati. Saya yang terkejut kemudian menolak mayat tersebut dan mula bertempiaran lari dalam keadaan histeria seperti para pelajar lain. Saya terus berlari balik ke rumah dan baru saya sedari bahawa baju saya berlumuran darah,” katanya.

Mayat mangsa dan mereka yang cedera dibawa ke Hospital Potiskum yang terletak 100 meter dari tempat kejadian.

Boko Haram yang mahu menegakkan negeri Islam ekstremis di utara Nigeria sebelum ini pernah melakukan serangan maut di sekolah-sekolah yang dipercayai mengikut acuan Barat.