JAKARTA: Pegawai Polis Bali menahan seorang pengedar dadah yang menerima sejumlah besar narkotik untuk diedar dan dijual semasa cuti akhir tahun.

Andi Prayitno, 40, didapati memiliki satu kilogram methamphetamine dan 2,000 pil ekstasi pada Jumaat selepas beberapa minggu di bawah pengawasan, lapor portal berita tempatan The Bali Sun.

"Pihak berkuasa mengetahui suspek akan mengambil barang yang disimpan di sebuah hotel di Legian.

"Selepas mengambil barang yang disimpan di lobi hotel, polis melakukan serbuan," kata ketua pesuruhjaya polis Denpasar, Bambang Yugo Pamungkas.

Beliau berkata kejayaan membongkar kes ini bersamaan dengan menyelamatkan 5,000 nyawa daripada mengambil dadah terlarang.

Pengedar dadah itu kini berdepan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun.

"Suspek sudah lama terlibat. Ini kali pertama dia ditahan," kata Unit Narkotik Polis Denpasar, Asisten Komisioner Mirza.

Beliau berkata tumpuan siasatan kini untuk mengenal pasti dari mana dadah itu dibawa masuk ke Bali.


-- BERNAMA