INTERNATIONAL
Pengganas Israel ikrar musnahkan Hamas

Netanyahu mendakwa, pihaknya tidak akan menamatkan perang selagi Hamas belum dimusnahkan sepenuhnya. - Foto fail/AP
TEL AVIV: Pengganas Israel enggan memenuhi tuntutan Hamas untuk menamatkan perang di Gaza dan sekali lagi berikrar kononnya mahu menghapuskan kumpulan pejuang itu.
Perdana Menterinya, Benjamin Netanyahu mendakwa, pihaknya tidak akan menamatkan perang selagi Hamas belum dimusnahkan sepenuhnya.
Ini termasuk membebaskan semua tebusan ditahan Hamas dan wilayah Gaza tidak menjadi ancaman keselamatan kepada Israel.
Kenyataan itu dibuat dalam keadaan tekanan semakin memuncak di dalam negara.Tekanan bukan sahaja daripada keluarga para tebusan dan penyokong mereka, malah turut disuarakan oleh anggota simpanan dan tentera veteran Israel.
Mereka mempertikaikan kesinambungan operasi ketenteraan selepas Israel memungkiri perjanjian gencatan senjata bulan lalu.
Dakwa Netanyahu, Hamas telah menolak cadangan terbaru Israel yang menawarkan pembebasan separuh daripada tebusan sebagai pertukaran kepada lanjutan gencatan senjata.
Dalam tempoh 48 jam kebelakangan ini, serangan udara Israel mengorbankan lebih 90 rakyat Palestin di Gaza.
Tentera Israel terus meningkatkan serangan dalam usaha memaksa Hamas melepaskan baki tebusan yang masih ditahan serta melucutkan senjata kumpulan itu.
Setakat ini, lebih 51,000 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, terbunuh akibat serangan Israel sejak konflik tercetus.
Perang ini juga telah memusnahkan sebahagian besar wilayah Gaza termasuk infrastruktur makanan, menyebabkan kira-kira 90 peratus penduduknya kehilangan tempat tinggal dan kini berlindung di khemah sementara atau bangunan yang musnah dibom.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami