Penggodam akses puluhan fail sulit dalam serangan siber - Menteri Perancis

Nunez (gambar) menyifatkan insiden digodam itu sebagai "perbuatan serius" dan menegaskan siasatan sedang dijalankan bagi menentukan secara tepat maklumat yang telah diakses dan diekstrak. - Gambar fail/REUTERS
ISTANBUL: Menteri Dalam Negeri Perancis Laurent Nunez pada Rabu berkata penggodam mengakses "puluhan fail sulit" dalam satu serangan siber yang menyasarkan kementeriannya minggu lalu, sekali gus mengesahkan bahawa pangkalan data sensitif penguatkuasaan undang-undang telah diceroboh, lapor Anadolu Ajansi.
Ringkasan AI
- Penggodam mengakses "puluhan fail sulit" dalam serangan siber terhadap Kementerian Dalam Negeri Perancis minggu lalu, termasuk rekod sistem pemprosesan jenayah dan Fail Individu Dikehendaki.
- Menteri Dalam Negeri Laurent Nunez mengesahkan serangan itu sebagai "perbuatan serius" dan siasatan sedang dijalankan untuk menentukan maklumat yang telah diakses.
- Seorang lelaki ditahan dalam siasatan, disyaki terlibat dalam menyerang sistem automatik kendalian negara bagi pemprosesan data peribadi.
"Setakat ini, beberapa puluh fail telah dikeluarkan daripada sistem, namun kita bercakap mengenai berjuta-juta data," katanya.
Beliau menyifatkan insiden berkenaan sebagai "perbuatan serius" dan menegaskan siasatan sedang dijalankan bagi menentukan secara tepat maklumat yang telah diakses dan diekstrak.
Kementerian Dalam Negeri mengesahkan bahawa serangan itu melibatkan pencerobohan ke atas perkhidmatan e-mel profesional pada malam 11 hingga 12 Dis.
Dalam satu kenyataan kepada BFMTV, kementerian memaklumkan analisis mendapati "berlaku pencerobohan ke atas akaun e-mel profesional yang mengandungi maklumat pengenalan, sekali gus membolehkan akses kepada aplikasi perniagaan."
Sementara itu, pendakwa raya awam Paris mengumumkan lewat Rabu bahawa seorang lelaki telah ditahan sebagai sebahagian daripada siasatan.
Suspek yang dilahirkan pada 2003 itu dilaporkan berjaya dikenal pasti selepas disabitkan kesalahan bagi kes serupa pada 2025.
Siasatan dibuka oleh unit jenayah siber pejabat pendakwa raya Paris, termasuk atas pertuduhan "menyerang sistem automatik kendalian negara bagi pemprosesan data peribadi sebagai sebahagian daripada kumpulan terancang."
Perkhidmatan keselamatan meneruskan siasatan teknikal, manakala langkah-langkah telah diambil bagi memperkukuh perlindungan dan mengehadkan risiko lanjut.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


