BAKU: Lebih 100 domain Kerajaan Azerbaijan disasar dalam serangan siber secara besar-besaran sejak Selasa malam, menurut Perkhidmatan Negara bagi Komunikasi Khas dan Keselamatan Maklumat Azerbaijan pada Rabu, lapor Sputnik/RIA Novosti.
“Bermula pada 10:00 malam [1800 GMT] pada 13 Okt, serangan siber oleh kumpulan penggodam luar negara sedang berlaku. Lebih 100 domain kerajaan di Republik Azerbaijan disasar. Serangan siber ini telah mengganggu akses kepada sumber laman sesawang milik beberapa badan kerajaan,” menurut kenyataan itu.
Langkah-langkah telah diambil bagi mengekang kesan serangan siber berkenaan dan memastikan laman-laman sesawang terbabit terus beroperasi.
Pada akhir September lepas, penggodam telah menyerang 22 laman sesawang Azerbaijan.
-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI