DUNIA
Penghantaran 100 juta dos vaksin AstraZeneca ke Indonesia alami kelewatan
Seorang lelaki menutup matanya ketika menerima suntikan vaksin sempena program pemberian vaksin di sebuah gedung beli-belah di Jakarta, Indonesia. - Reuters
JAKARTA: Kementerian Kesihatan Indonesia pada Khamis menyatakan jadual ketibaan kira-kira 100 juta dos vaksin AstraZeneca ke negara itu berdepan kelewatan, sekali gus menejejaskan kelancaran program imunisasi di republik itu, lapor Reuters.
Menteri Kesihatan Budi Gunadi Sadikin memberitahu sidang Parlimen, bahawa Indonesia menerima 20 juta dos vaksin AstraZeneca menerusi perjanjian bilateral pada 2021, berbanding 50 juta dos seperti yang dipersetujui pada awalnya.
Katanya, baki 30 juta dos lagi dijangka dihantar dalam penggal kedua tahun 2022.
Indonesia juga sedang menunggu sejumlah 54 juta dos vaksin AstraZeneca secara berfasa menerusi skim perjanjian vaksin global COVAX, walaupun menurut Budi, kekangan eksport India boleh melambatkan penghantaran pada April.
"Itu sesuatu yang kita tidak boleh terima dan kita sedang berunding dengan AstraZeneca. Nasib 100 juta dos vaksin seperti yang dijadualkan itu masih belum jelas," ujarnya.
AstraZeneca masih belum memberi sebarang komen mengenai perkembangan itu.