DUNIA
Pengiktirafan Palestin sahkan Israel tiada kedaulatan ke atas tanah diduduki - Diplomat

Pengiktirafan itu mengesahkan tanpa sebarang keraguan bahawa Israel tidak mempunyai kedaulatan ke atas wilayah Palestin yang diduduki. - AP
BAITULMUQADDIS: Pengiktirafan Palestin sebagai sebuah negara merdeka oleh United Kingdom (UK), Australia dan Kanada sekali lagi mengesahkan bahawa Israel tidak mempunyai kedaulatan ke atas wilayah Palestin yang diduduki, kata Timbalan Menteri Luar Palestin Omar Awadallah kepada RIA Novosti pada Ahad.
Terdahulu pada hari sama, UK, Australia dan Kanada secara rasmi mengiktiraf kenegaraan Palestin.
Pada Sabtu, Presiden Perancis Emmanuel Macron turut mengesahkan bahawa Perancis akan mengiktiraf Negara Palestin pada 22 Sept sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York.
Awadallah berkata pengiktirafan itu adalah hasil daripada proses yang dibina melalui usaha diplomatik selama bertahun-tahun."Selain itu, langkah pengiktirafan ini dibuat ketika berlakunya genosid terhadap rakyat Palestin dan serangan Israel terhadap hak-hak rakyat Palestin di Tebing Barat, termasuk Baitulmuqaddis," katanya dalam satu temu bual.
Dengan keputusan ini, negara-negara berkenaan menyatakan bahawa terdapat cara praktikal untuk mencapai penyelesaian dua negara, iaitu melalui pengiktirafan sebuah negara Palestin.
Mereka juga menegaskan bahawa mereka mahu Negara Palestin menjadi sebahagian daripada rantau Timur Tengah kerana penubuhannya akan membawa keselamatan, kestabilan dan keamanan.
Oleh itu, pengiktirafan tersebut mengesahkan tanpa sebarang keraguan bahawa Israel tidak mempunyai kedaulatan ke atas wilayah Palestin yang diduduki, dan bahawa semua negara yang sebelum ini mengiktiraf Israel hanya mengiktirafnya dalam sempadan 1967, di luar wilayah Palestin yang diduduki," kata Awadallah.
Beliau berkata perkara itu bertentangan dengan dasar pendudukan Israel yang melibatkan rampasan tanah secara paksa, tindakan "pengilhakan" wilayah Palestin atau cubaan mengenakan kedaulatan Israel ke atasnya.
Awadallah turut menegaskan bahawa jenayah yang dilakukan Israel, yang kini dianggap sebagai negara penyangak, telah mendorong banyak negara untuk mengambil langkah lebih pantas dalam melaksanakan penyelesaian dua negara.
-- BERNAMA
Dapatkan berita terkini di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami