CANBERRA: Spesies penguin terbesar di dunia, penguin maharaja berdepan kepupusan dalam tempoh 30 tahun, lapor Xinhua, memetik penyelidik Australia.

Seorang saintis penyelidikan kanan di Bahagian Antartika Australia (AAD) Barbara Wienecke, mendedahkan bahawa penguin maharaja yang menjadi ikonik boleh mengalami kepupusan menjelang 2050.

Penguin maharaja merupakan endemik Antartika dan adalah yang terbesar daripada 18 spesies penguin, yang boleh mencecah ketinggian sehingga 1.3 meter.

Haiwan ini yang mempunyai habitat dan membiak di kawasan pulau atau gunung ais itu terdedah kepada kesan perubahan iklim, yang boleh memusnahkan koloninya.

"Pada kadar semasa, kepupusan hampir pasti berlaku," lapor News Corp Australia pada Sabtu.

Meskipun berada pada senario terbaik dengan kenaikan suhu 1.5 darjah, kajian menunjukkan bahawa kebanyakan koloni akan hampir pupus menjelang 2050.

"Ini bermakna koloni-koloni itu telah berkurang begitu banyak,dan sukar untuk pulih kembali." kata Wienecke.

Kesatuan Pemuliharaan Alam Semula Jadi Antarabangsa (IUCN) menyenaraikan penguin maharaja sebagai "hampir terancam", namun ramai pakar menggesa perkara itu diteliti semula pada 2023 untuk "menaikkan statusnya kepada "terancam".

Beliau berkata mengurangkan kesan perubahan iklim satu-satunya cara untuk menyelamatkan spesies burung itu, namun mengubah status perlindungannya juga akan meningkatkan kesedaran tentang nasib penguin tersebut.

Menyenaraikannya sebagai spesis terancam juga boleh membawa kepada langkah-langkah lain seperti melindungi sumber makanan haiwan itu termasuk krill, ikan sirip dan sotong daripada ditangkap secara berlebihan.

-- BERNAMA