PENGUNJUNG taman tema Disneyland di California, Amerika Syarikat (AS) berdepan detik cemas apabila seekor naga yang digunakan dalam satu pertunjukan tiba-tiba terbakar pada Sabtu malam.

Rakaman video menunjukkan api marak menyelubungi naga berukuran 13 meter yang dinamakan Maleficent ketika pasukan bomba cuba memadam kebakaran itu.

Kejadian berlaku ketika pertunjukan Fantasmic yang melibatkan penggunaan mercun.

Tiada kecederaan dilaporkan akibat insiden berkenaan.

Disney dalam satu kenyataan berkata, para pengunjung berjaya dibawa keluar dari kawasan tersebut.

Punca kejadian masih dalam siasatan dan semua pertunjukan yang melibatkan penggunaan api atau mercun ditangguh buat masa ini.

Maleficent merupakan antara watak utama dalam Sleeping Beauty yang berlawan dengan Putera Phillip dalam filem Disney itu.

Ia diterbitkan buat pertama kali pada tahun 1959.

Maleficent membuat kemunculan semula dalam filem aksi pada tahun 2014 dan wataknya dimainkan oleh Angelina Jolie.