DUNIA

Pengurangan penerbangan di AS meningkat kepada 6 peratus

Bernama 12/11/2025 | 02:30 MYT
Keadaan di landasan Lapangan Terbang Nasional Ronald Reagan Washington di Arlington, Virginia, 11 Nov 2025, susulan gangguan penerbangan berkaitan penutupan kerajaan AS. REUTERS
WASHINGTON: Syarikat penerbangan di seluruh Amerika Syarikat (AS) akan mengurangkan penerbangan sebanyak enam peratus mulai Selasa, meskipun terdapat keyakinan yang semakin meningkat bahawa penutupan kerajaan persekutuan akan berakhir tidak lama lagi.


Ringkasan AI
  • Syarikat penerbangan AS mengurangkan penerbangan sebanyak enam peratus mulai Selasa, meskipun keyakinan penutupan kerajaan akan berakhir tidak lama lagi.
  • Setiausaha Pengangkutan AS, Sean Duffy, gesa Kongres luluskan langkah dwipartisan untuk mengakhiri penutupan kerajaan bagi kelegaan pengembara.
  • Kelewatan dan pembatalan penerbangan dijangka bertambah buruk menjelang Hari Kesyukuran, antara tempoh perjalanan paling sibuk, akibat penutupan kerajaan sejak 1 Okt.


"Hari ini (Selasa), kami meningkatkannya sebanyak dua peratus lagi. Kini jumlah pembatalan penerbangan di ruang udara mencecah enam peratus.

"Ada yang bertanya, 'Bila anda akan mula menarik balik pengurangan itu?' Jawapannya, semua ini berdasarkan data," kata Setiausaha Pengangkutan AS Sean Duffy kepada wartawan pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa O'Hare, Chicago.

Duffy menggesa Kongres supaya segera meluluskan langkah dwipartisan bagi menamatkan penutupan kerajaan dan memberi kelegaan kepada pengembara selepas hampir seminggu gangguan penerbangan di seluruh negara.

"Hari ini (Selasa) kelihatan lebih baik, dan jika Dewan (Perwakilan) melakukan tugasnya, esok (Rabu) saya rasa kita berada di landasan untuk kembali kepada perjalanan udara yang lebih normal, dengan kurang kelewatan dan pembatalan," katanya.

Bagaimanapun, Duffy memberi amaran bahawa kelewatan dan pembatalan dijangka bertambah buruk menjelang minggu sambutan Hari Kesyukuran (Thanksgiving), iaitu antara tempoh perjalanan paling sibuk sepanjang tahun.

Penutupan kerajaan bermula pada 1 Okt selepas rundingan mengenai keutamaan perbelanjaan persekutuan menemui jalan buntu.

Ribuan pekerja persekutuan telah diarahkan bercuti tanpa gaji sejak itu, manakala perkhidmatan kerajaan telah dikurangkan atau digantung.

-- BERNAMA


#Amerika Syarikat #penutupan kerajaan #Sean Duffy #penerbangan dibatalkan