DUNIA

Penjara Israel jadi medan seksaan semasa perang – Penulis Palestin

Astro Awani 04/11/2025 | 11:49 MYT
Abu Srour (foto), yang kini hidup dalam buangan di Mesir, merupakan antara 154 tahanan yang dibebaskan dalam pertukaran tahanan, namun tidak dibenarkan pulang ke tanah air. -Gambar fail/Gallimard
KAHERAH: Seorang penulis Palestin yang baru dibebaskan daripada tahanan Israel mendakwa amalan penyeksaan terhadap tahanan Palestin meningkat secara mendadak sepanjang konflik Gaza yang tercetus selepas serangan Hamas pada 7 Oktober 2023.


Ringkasan AI
  • Penyeksaan terhadap tahanan Palestin meningkat sepanjang konflik Gaza selepas serangan Hamas pada 7 Oktober 2023, menurut penulis Palestin yang baru dibebaskan, Nasser Abu Srour.
  • Lebih 9,100 rakyat Palestin masih ditahan di penjara Israel, termasuk 400 kanak-kanak dan 75 wanita; 3,380 tahanan ditahan tanpa perbicaraan, sementara 350 menjalani hukuman penjara seumur hidup.
  • PBB merekodkan 75 kematian tahanan Palestin dalam tahanan Israel antara 7 Oktober 2023 hingga 31 Ogos 2025, sementara Abu Srour kini hidup dalam buangan di Mesir selepas dibebaskan.


Klik di sini untuk FAQ berkaitan artikel ini

Nasser Abu Srour, 56, yang ditahan selama lebih 32 tahun dan dibebaskan melalui perjanjian gencatan senjata yang disokong Amerika Syarikat, berkata penjara Israel telah menjadi medan perang kedua di mana tahanan Palestin diseksa secara sistematik dan berterusan.

“Penjara bukan lagi tempat tahanan, ia menjadi zon konflik. Kami dipukul, diseksa dan dinafikan hak asas seperti makanan, air dan rawatan perubatan,” katanya dalam satu temu bual bersama media antarabangsa.

Abu Srour mendedahkan bahawa pengawal penjara mula memakai pakaian seragam dengan tanda "pejuang" di dada dan bertindak seolah-olah mereka berada di medan perang.

“Mereka mula memukul, menyeksa dan membunuh seperti pejuang,” katanya.

Menurut laporan Ahram Online, lebih 9,100 rakyat Palestin masih ditahan di penjara Israel, termasuk 400 kanak-kanak dan 75 wanita.

Seramai 3,380 tahanan ditahan tanpa perbicaraan, manakala 350 menjalani hukuman penjara seumur hidup.

Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut merekodkan 75 kematian tahanan Palestin dalam tahanan Israel antara 7 Oktober 2023 hingga 31 Ogos 2025.

Abu Srour, yang kini hidup dalam buangan di Mesir, merupakan antara 154 tahanan yang dibebaskan dalam pertukaran tahanan, namun tidak dibenarkan pulang ke tanah air.

Beliau pernah terlibat dalam intifada pertama dan dijatuhi hukuman penjara seumur hidup pada 1993 berdasarkan pengakuan yang dibuat di bawah penyeksaan.

Sepanjang tempoh tahanan, beliau memperoleh ijazah sarjana dalam sains politik dan menghasilkan karya sastera termasuk memoir penjara bertajuk "The Tale of a Wall: Reflections on Hope and Freedom", yang telah diterjemahkan ke dalam tujuh bahasa dan kini tersenarai sebagai finalis Hadiah Sastera Arab oleh Institut Dunia Arab di Paris.

Abu Srour turut menceritakan detik pembebasannya yang penuh emosi selepas bertahun-tahun permintaan pembebasan tidak diendahkan.

“Saya duduk di katil dan cuba tidak peduli. Tetapi apabila mereka memanggil nama saya, saya tahu rahmat Tuhan akhirnya sampai,” katanya.

Beliau menggambarkan kejutan budaya apabila dibawa ke sebuah hotel mewah di Kaherah, termasuk pertemuan semula dengan ahli keluarga selepas lebih tiga dekad.

“Saya tidak tahu bagaimana untuk menggunakan lif, bilik mandi, atau makan dengan pisau dan garpu. Semua perasaan bercampur-baur,” katanya.

Namun, kebebasan itu bersifat sementara. Selepas laporan media Barat mengenai kehadiran bekas tahanan Palestin di hotel tersebut, mereka diarahkan berpindah ke lokasi lain yang tidak didedahkan.

“Kami masih diawasi dan belum benar-benar bebas,” katanya.

Abu Srour kini mempertimbangkan tawaran untuk menetap di negara ketiga, namun menegaskan bahawa beliau tidak mencari keselesaan semata-mata.

“Saya tidak mahu negara tanpa persoalan atau tanpa perjuangan,” katanya.

Seorang lagi penulis Palestin, Basim Khandakji, turut mendedahkan pengalaman diseksa dan dikurung secara bersendirian selama 12 hari selepas novelnya memenangi Hadiah Booker Arab 2024.

“Saya menulis dalam gelap, dengan tangan terikat. Mereka marah kerana saya berjaya menerbitkan karya dari dalam penjara,” katanya.



Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
  • Q: Apakah yang dikatakan oleh penulis Palestin yang baru dibebaskan mengenai amalan penyeksaan terhadap tahanan Palestin di penjara Israel?
    A: Penulis tersebut mendakwa bahawa amalan penyeksaan terhadap tahanan Palestin meningkat secara mendadak sepanjang konflik Gaza, dengan penjara Israel menjadi medan perang kedua di mana tahanan diseksa secara sistematik.
  • Q: Berapa jumlah rakyat Palestin yang masih ditahan di penjara Israel menurut laporan Ahram Online?
    A: Lebih 9,100 rakyat Palestin masih ditahan di penjara Israel, termasuk 400 kanak-kanak dan 75 wanita.
  • Q: Berapa jumlah kematian tahanan Palestin yang direkodkan oleh Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam tempoh tertentu?
    A: Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merekodkan 75 kematian tahanan Palestin dalam tahanan Israel antara 7 Oktober 2023 hingga 31 Ogos 2025.
  • Q: Apakah yang berlaku kepada penulis Palestin yang dibebaskan setelah berada di hotel mewah di Kaherah?
    A: Bekas tahanan Palestin yang dibebaskan dibawa ke sebuah hotel mewah di Kaherah, namun selepas laporan media Barat mengenai kehadiran mereka, mereka diarahkan berpindah ke lokasi lain yang tidak didedahkan.
  • Q: Apakah yang dilakukan pengawal penjara menurut penulis Palestin yang baru dibebaskan?
    A: Pengawal penjara mula memakai pakaian seragam dengan tanda *pejuang* di dada dan bertindak seolah-olah mereka berada di medan perang, dengan memukul, menyeksa, dan membunuh tahanan seperti pejuang.


#Nasser Abu Srour #Basim Khandakji #penulis Palestin #penyeksaan di penjara Israel #tahanan Palestin