INTERNATIONAL
Penjara lelaki Britain dijangka penuh November ini
Kerajaan UK akan membelanjakan GBP4.7 bilion untuk membina tiga penjara baharu bagi mengurangkan tekanan terhadap sistem penjara. - Gambar hiasan
MOSCOW: Penjara lelaki di Britain kini hampir 99 peratus penuh dan dijangka kehabisan ruang penempatan menjelang November 2025 jika tiada tindakan diambil, kata pegawai Kementerian Kehakiman UK, Amy Rees.
Ringkasan AI
- Penjara lelaki di Britain hampir penuh 99% dan dijangka kehabisan ruang penempatan menjelang November 2025 jika tiada tindakan diambil.
- Kerajaan UK akan membelanjakan GBP4.7 bilion untuk membina tiga penjara baharu bagi mengurangkan tekanan terhadap sistem penjara.
- Kerajaan merancang pembaharuan sistem pemulihan, termasuk kemungkinan memendekkan tempoh hukuman penjara dan memperluas pilihan hukuman di luar institusi pemulihan.
"Jumlah keseluruhan banduan kini mencecah 88,087 orang, dan penjara lelaki dewasa beroperasi pada kira-kira 99 peratus kapasiti...Kami menjangkakan tiada lagi tempat yang tersedia - kehabisan sepenuhnya ruang penempatan bagi banduan lelaki dewasa - menjelang November tahun ini," katanya pada sidang media pada Rabu, menurut laporan Sputnik/RIA Novosti.
Beliau berkata jumlah banduan meningkat sebanyak 3,000 orang setahun dan dijangka melebihi 100,000 orang menjelang 2029.
Kerajaan UK akan membelanjakan GBP4.7 bilion (US$6.23 bilion) untuk membina tiga penjara baharu bagi mengurangkan tekanan terhadap sistem penjara negara itu, kata Setiausaha Kehakiman Shabana Mahmood.
"Saya boleh mengumumkan hari ini bahawa Perbendaharaan akan membiayai sepenuhnya rancangan peluasan penjara kita sepanjang tempoh semakan perbelanjaan. Ini merupakan pelaburan modal berjumlah GBP4.7 bilion. Ia membolehkan kita memulakan pembinaan tiga penjara baharu," katanya pada sidang media sama.
Bagaimanapun, Mahmood mengakui bahawa "usaha pembinaan penjara secara besar-besaran" itu masih tidak mencukupi untuk menyelesaikan krisis berkenaan. Menurutnya, meskipun dengan semua pelaburan tersebut, menjelang musim bunga 2028, UK tetap akan kekurangan 9,500 tempat kerana kadar pertumbuhan banduan yang terlalu pantas.
Sehubungan itu, kerajaan turut merancang pelaksanaan pembaharuan sistem pemulihan, termasuk kemungkinan memendekkan tempoh hukuman penjara serta memperluas pilihan menjalani hukuman di luar institusi pemulihan, kata Mahmood.
-- BERNAMA