Penjinak ular 'pengsan' dijerut boa ketika persembahan sarkas

Agensi
Mei 7, 2019 08:00 MYT
Penjinak ular itu melilit boa tersebut pada lehernya sebelum dia rebah dalam aksi berikutnya. -Foto video viral
SEORANG penjinak ular pengsan selepas dijerut seekor ular ketika membuat persembahan di sebuah sarkas.
Dalam video yang tular di media sosial, lelaki yang tidak kenali itu kelihatan bermain-main dengan ular jenis boa tersebut sebelum melilit haiwan itu pada lehernya.
Penjinak ular itu pada mulanya kelihatan tenang dan membiarkan saja ular itu menjerutnya. Namun, ketika dia melutut untuk aksi seterusnya, dia terus rebah ke lantai dan kelihatan terkapai-kapai.
Penonton pada mulanya menyangka aksi itu sebahagian daripada pertunjukan, namun terkejut apabila melihat tangan kanan mangsa seperti memberi isyarat meminta bantuan.
Keadaan menjadi panik seketika apabila petugas di sarkas berkenaan bergegas masuk dan melepaskan mangsa daripada belitan ular tersebut sebelum mengusungnya keluar.
Menurut laporan media, kejadian dipercayai berlaku di sebuah sarkas di ibu kota Makhachkala, Rusia.
Tidak dapat dipastikan nasib penjinak ular tersebut, tetapi polis tempatan menyatakan tiada laporan berkaitan kejadian diterima.
#anggota badan semakin lemah #berdepan maut dililit ular #Degestan #Makhachkala #mangsa #maut #penghibur sarkas #Rusia #sesak nafas #ular sawa jenis python atau boa