ISTANBUL: Seorang penjual makanan jalanan di Istanbul kini menjadi fenomena internet apabila wajahnya yang tular di media sosial menarik perhatian pelancong dari seluruh dunia - bukan sekadar untuk membeli makanan, tetapi juga bergambar bersamanya.
Alper Temel, penjual buah berangan dan jagung, telah bekerja di gerai keluarga di kawasan pesisir bersejarah Karakoy sejak tujuh tahun lalu bersama dua adiknya.
Namun, sejak 2024 apabila video memaparkan dirinya menjadi tular kerana penampilan yang menarik, gerai tersebut mula dibanjiri pelancong dan peminat.
Kini, gerai berkenaan bukan sahaja menjadi lokasi untuk menikmati snek pantas, tetapi turut berubah menjadi ‘spot’ popular untuk pengunjung bertemu, berbual dan merakam gambar bersama Temel.
Popularitinya semakin meningkat apabila pemandu pelancong mula memasukkan gerai tersebut dalam itinerari lawatan mereka, selain ramai pempengaruh media sosial turut menghasilkan kandungan mengenai dirinya.
Fenomena itu secara tidak langsung memberi perhatian kepada makanan jalanan yang dijual keluarganya sejak lebih 15 tahun lalu.
“Saya sangat berterima kasih atas sokongan yang diberikan. Seperti anak muda lain, saya cuba membantu keluarga sebaik mungkin dan populariti ini mempercepatkan usaha tersebut,” katanya.
Sejak membuka akaun media sosial sendiri pada Oktober 2025, lelaki berusia 25 tahun itu berjaya mengumpul 974,000 pengikut di Instagram dan lebih 700,000 pengikut di TikTok.
Kebanyakan video yang dimuat naik memaparkan beliau melayan pelanggan, berinteraksi dengan pelancong serta bergambar bersama mereka, selain gaya ‘renungan’ ke arah kamera yang mencuri perhatian ramai.
Siaran langsung TikToknya pula menunjukkan Temel melayani barisan peminat, melambaikan salam, mengirim ‘ciuman’ ke arah kamera serta menjawab pelbagai soalan daripada ribuan penonton.
Di ruangan komen, ramai pengguna meluahkan keinginan untuk berkunjung ke Turkiye semata-mata untuk bertemunya, malah ada yang bertanya sama ada beliau terlibat dengan agensi peragaan.
Menurut Temel, beliau turut menerima pelbagai tawaran termasuk kontrak bersama agensi, peluang berlakon dalam filem dan program televisyen, selain lamaran perkahwinan daripada peminat.
Malah, sebuah portal digital tempatan turut menobatkannya sebagai “Lelaki Terbaik Tahun 2025.”
Bagaimanapun, Temel menegaskan, beliau tidak mahu hanyut dengan populariti, sebaliknya, kekal fokus kepada pekerjaan dan matlamat hidupnya.
“Apabila orang menunjukkan penghargaan dan kasih sayang, ia sangat bermakna. Tetapi pada masa sama, ia datang dengan tanggungjawab yang besar. Jadi, saya cuba kekal fokus pada kerja saya,” katanya.
Dalam masa sama, Temel berharap populariti yang diraih dapat membantu memperkenalkan Turkiye kepada dunia.
“Saya mahu orang datang dan merasai sendiri kepelbagaian budaya, keindahan landskap dan keramahan rakyat di sini.
"Bagi kami, mereka yang datang dari luar bukan sekadar pelancong - mereka adalah tetamu, dan kami akan menyambut mereka sebaik mungkin,” katanya. - CNN