Skip to main content

Dunia

Pentadbiran Selat Hormuz pada masa depan mesti ambil kira aspek alam sekitar

Vessels in the Strait of Hormuz, as seen from Musandam, Oman, August 3, 2026. REUTERS/Stringer TPX IMAGES OF THE DAY
Setiap pihak yang mendapat manfaat daripada perkapalan komersial melalui Selat Hormuz mempunyai kewajipan dari segi undang-undang dan moral untuk memulihkan kerosakan alam sekitar. - Gambar fail/Reuters
Advertisement

TEHRAN: Keadaan alam sekitar Selat Hormuz dan perairan sekitarnya mesti dijadikan syarat utama dalam mana-mana rangka kerja pengurusan selat itu pada masa depan, kata Jurucakap Kementerian Luar Iran Esmaeil Baqaei, lapor Agensi Berita Republik Islam (IRNA).

Menerusi hantaran di akaun X beliau pada Khamis, Baqaei menjelaskan keperluan untuk memasukkan pertimbangan alam sekitar dalam sebarang pentadbiran Selat Hormuz pada masa depan.

Beliau merujuk kepada video terbaharu yang menunjukkan pencemaran minyak di sepanjang pesisir Pulau Qeshm dengan berkata: “Sejak beberapa hari kebelakangan ini, video tersebar menunjukkan pencemaran minyak di sepanjang pantai Pulau Qeshm. Pencemaran ini hanyut ke arah pantai dari Teluk Parsi dan bukti awal menunjukkan sebuah kapal kargo pukal asing sebagai puncanya. Pencemaran dikesan di tiga kawasan pantai dan beberapa bahagian permukaan laut.”

“Insiden ini hanyalah satu contoh yang dapat dilihat daripada pencemaran meluas -- sama ada secara terang-terangan mahupun tersembunyi -- yang merosakkan perairan Teluk Parsi dan Laut Oman serta ekosistem marin di rantau ini sejak beberapa dekad lalu, sekali gus menyebabkan kerugian berjumlah beberapa trilion dolar kepada kawasan pantai Iran,” kata Baqaei.

Beliau mempersoalkan pihak yang sepatutnya bertanggungjawab membayar pampasan bagi kerosakan itu, sambil bertanya sama ada beban berkenaan perlu ditanggung oleh negara yang menggunakan eksport tenaga murah dari rantau itu, syarikat insurans perkapalan atau pihak penceroboh serta sekutu mereka yang menjadikan Teluk Parsi dan Laut Oman sebagai medan operasi ketenteraan dan lokasi ujian senjata pemusnah berkuasa tinggi.

“Sebagai negara yang mempunyai garis pantai terpanjang di sepanjang Teluk Parsi dan Laut Oman, Iran tidak boleh berdiam diri. Setiap pihak yang mendapat manfaat daripada perkapalan komersial melalui Selat Hormuz mempunyai kewajipan dari segi undang-undang dan moral untuk memulihkan kerosakan alam sekitar yang berlaku di Teluk Parsi dan Laut Oman,” katanya.

-- BERNAMA-IRNA

Must Watch Video

Advertisement