[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
INTERNATIONAL

Pentadbiran Trump batal lebih 600 visa pelajar antarabangsa di lebih 90 universiti AS

Agensi 17/04/2025 | 00:00 MYT
Lebih 600 pelajar antarabangsa, pensyarah dan penyelidik dari sekurang-kurangnya 90 universiti di Amerika Syarikat dilaporkan kehilangan visa mereka selepas tindakan pembatalan oleh pentadbiran Presiden Trump. - Gambar fail Reuters
WASHINGTON: Lebih 600 pelajar antarabangsa, pensyarah dan penyelidik dari sekurang-kurangnya 90 universiti di Amerika Syarikat (AS) dilaporkan kehilangan visa mereka selepas tindakan pembatalan oleh pentadbiran Presiden Donald Trump.
Perkara itu didedahkan menerusi semakan CNN terhadap dokumen mahkamah, kenyataan peguam serta pengumuman institusi pengajian tinggi di seluruh negara.
Setakat ini, belum jelas sama ada semua individu yang terlibat perlu segera meninggalkan AS atau dibenarkan untuk terus mengikuti pengajian mereka.
Jabatan Negara AS tidak memberikan penjelasan lanjut mengenai proses pembatalan visa tersebut, namun menyifatkan situasi itu sebagai "dinamik" dan "masih berjalan."
Seorang jurucakap Jabatan Negara merujuk kepada kenyataan Setiausaha Negara, Marco Rubio yang berkata, Akta Imigresen dan Kewarganegaraan AS menetapkan bahawa individu yang menyokong aktiviti pengganas atau menyokong organisasi seperti Hamas tidak layak menerima visa ke negara itu.
Difahamkan, Jabatan Negara secara manual membatalkan rekod dalam Sistem Pelajar dan Pertukaran Pelawat (SEVIS), tanpa memaklumkan secara langsung kepada pelajar atau pihak universiti.
Dalam kebanyakan kes, universiti hanya menyedari pembatalan visa selepas membuat semakan dalam sistem.
Mengenai pelajar terlibat, ada antara mereka tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.
Namun, terdapat juga yang berdepan kemungkinan dihantar pulang akibat sabitan kesalahan kecil - termasuk kesalahan ringan yang berlaku beberapa tahun lalu - yang lazimnya tidak membawa kepada tindakan pengusiran, menurut peguam imigresen.
Beberapa universiti turut menyuarakan kebimbangan dan meminta penjelasan lanjut daripada pihak berkuasa berhubung tindakan ini. - Agensi
#Donald Trump #visa pelajar antarabangsa #Trump batal visa #pelajar universiti #Jabatan Negara AS