Skip to main content

Dunia

Pentadbiran Trump batalkan larangan bunuh, pasang perangkap spesies terancam

A bald eagle perches on a branch covered in snow during a winter storm in Nyack, New York, U.S., December 14, 2025. REUTERS/Mike Segar Purchase Licensing Rights
Kumpulan alam sekitar mengkritik perubahan berkenaan dengan berhujah bahawa ia akan melemahkan perlindungan terhadap spesies yang terdedah kepada ancaman. - Gambar fail/REUTERS
Advertisement

ISTANBUL: Perkhidmatan Ikan dan Hidupan Liar Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat membatalkan "peraturan menyeluruh" (blanket rule), iaitu dasar yang telah berkuat kuasa selama beberapa dekad yang memperluas pelbagai perlindungan yang diberikan kepada spesies terancam kepada spesies yang diancam kepupusan, termasuk larangan membunuh, memasang perangkap atau mengganggu spesies berkenaan.

Anadolu Ajansi melaporkan peraturan yang berkuat kuasa sejak 1975 itu dibatalkan sebagai sebahagian daripada usaha lebih meluas pentadbiran Presiden Donald Trump untuk mentafsir semula Akta Spesies Terancam 1973, yang menurut pengkritik boleh melemahkan perlindungan terhadap tumbuhan dan haiwan yang diancam kepupusan.

Agensi itu turut mengeluarkan peraturan berasingan yang mewajibkan pihak berkuasa mempertimbangkan kesan ekonomi apabila menetapkan sesuatu kawasan sebagai "habitat kritikal" bagi spesies yang diancam kepupusan dan spesies terancam. Sebelum ini, pertimbangan terhadap faktor ekonomi hanya bersifat pilihan.

Jabatan Dalam Negeri AS berkata peraturan baharu itu bertujuan untuk "melaksanakan arahan Presiden Donald J. Trump bagi memperkukuh kebebasan tenaga Amerika, meningkatkan kebolehramalan peraturan serta memastikan tindakan kerajaan Persekutuan selaras dengan tafsiran terbaik undang-undang."

"Sudah terlalu lama Akta Spesies Terancam dijadikan senjata untuk menghalang hampir setiap projek baharu di Amerika, sekali gus meningkatkan kos sara hidup keluarga, melemahkan daya saing kita dan menjejaskan keselamatan negara," kata Setiausaha Dalam Negeri Doug Burgum dalam kenyataan itu.

Kumpulan alam sekitar mengkritik perubahan berkenaan dengan berhujah bahawa ia akan melemahkan perlindungan terhadap spesies yang terdedah kepada ancaman.

Peguam di firma guaman alam sekitar Earthjustice, Clay Samford, menyifatkan peraturan baharu itu sebagai "tidak baik untuk hidupan liar yang terancam dan kawasan semula jadi", sambil berhujah bahawa perubahan itu dibuat "demi kepentingan perniagaan tertentu", menurut The Washington Post.

Samford berkata peraturan baharu itu akan mewajibkan pegawai mengambil kira kebimbangan penternak apabila membuat keputusan, sekali gus meningkatkan kemungkinan tanah milik mereka dikecualikan daripada penetapan sebagai habitat kritikal.

Menurut Perkhidmatan Ikan dan Hidupan Liar AS, lebih 500 spesies kini menunggu penilaian bagi kemungkinan disenaraikan sebagai spesies yang diancam kepupusan atau spesies terancam.

Samford turut memberi amaran bahawa pengurangan tenaga kerja agensi itu serta keperluan baharu untuk menilai perlindungan bagi setiap spesies secara berasingan berkemungkinan meningkatkan bilangan semakan yang masih belum selesai.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

Must Watch Video

Advertisement