Skip to main content

Dunia

Pentadbiran Trump batalkan lebih 300,000 visa AS

Dalam kemas kini pada 10 Ogos lalu, Jabatan Negara memaklumkan lebih 175,000 visa telah dibatalkan sejak Trump memulakan penggal pentadbirannya ketika ini pada Januari 2025. - Gambar hiasan/ Reuters
Dalam kemas kini pada 10 Ogos lalu, Jabatan Negara memaklumkan lebih 175,000 visa telah dibatalkan sejak Trump memulakan penggal pentadbirannya ketika ini pada Januari 2025. - Gambar hiasan/ Reuters

Advertisement

WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Donald Trump telah membatalkan lebih 300,000 visa Amerika Syarikat (AS) sepanjang penggal keduanya, menurut Jabatan Negara AS pada Selasa, ketika kerajaan persekutuan meneruskan tindakan besar-besaran mengetatkan dasar imigresen.

Angka terbaharu itu menunjukkan peningkatan ketara dalam kadar pembatalan visa sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Dalam kemas kini pada 10 Ogos lalu, Jabatan Negara memaklumkan lebih 175,000 visa telah dibatalkan sejak Trump memulakan penggal pentadbirannya ketika ini pada Januari 2025.

Trump sebelum ini menegaskan, tindakan keras terhadap imigresen serta usaha pengusiran yang dilaksanakan pentadbirannya bertujuan meningkatkan keselamatan dalam negara.

Bagaimanapun, kumpulan hak asasi manusia mendakwa tindakan berkenaan mencabuli hak terhadap proses sewajarnya di sisi undang-undang dan kebebasan bersuara, selain mewujudkan persekitaran tidak selamat khususnya bagi golongan etnik minoriti.

Mereka turut membangkitkan kebimbangan mengenai amalan pemprofilan berdasarkan kaum.

Ketika mengumumkan angka terbaharu menerusi platform X, jurucakap Jabatan Negara, Tommy Pigott berkata, pentadbiran Trump telah “membatalkan lebih banyak visa pada kadar lebih pantas berbanding mana-mana pentadbiran dalam sejarah”.

Menurut Pigott, pentadbiran itu tidak akan bertolak ansur terhadap warga asing yang berada di AS menggunakan visa tetapi melanggar undang-undang, melakukan penipuan atau menjejaskan keselamatan negara.

Antara pembatalan visa yang mendapat kecaman kumpulan hak asasi termasuk melibatkan penunjuk perasaan warga asing pro-Palestin yang membantah serangan Israel di Gaza.

Turut terjejas ialah warga asing yang berdepan tindakan berhubung komen mereka di media sosial mengenai pembunuhan pengulas konservatif Charlie Kirk.

Selain usaha mengusir penunjuk perasaan warga asing, pentadbiran Trump turut memperketat pemeriksaan media sosial terhadap pendatang dan pemohon visa.

Kumpulan hak asasi mendakwa kerajaan menggunakan alasan keselamatan negara untuk menyasarkan pengkritik, selain menggunakan kes penipuan terpencil sebagai asas mengambil tindakan secara lebih meluas terhadap komuniti pendatang, termasuk masyarakat Somalia-Amerika di Minnesota.

Walaupun Trump berkempen pada pilihan raya 2024 dengan janji untuk membendung imigresen tanpa izin, pentadbirannya turut mengetatkan laluan imigresen yang sah.

Antaranya termasuk mengenakan bayaran yang tinggi bagi kategori visa pekerjaan tertentu. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement