DUNIA

Pentadbiran Trump beku proses suaka susulan warga Afghanistan didakwa bunuh anggota pengawal

Agensi 01/12/2025 | 02:30 MYT
Pada 26 November lalu, Rahmanullah Lakanwal yang juga warga Afghanistan didakwa atas tuduhan membunuh dua anggota Pengawal Kebangsaan berhampiran White House. - Gambar AP
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Ahad (30 Nov) menegaskan, pentadbirannya akan mengekalkan langkah pembekuan keputusan suaka “untuk tempoh yang lama” susulan insiden seorang warga Afghanistan didakwa menembak dua anggota Pengawal Kebangsaan berhampiran White House, mengorbankan seorang daripadanya.

Ketika ditanya berapa lama langkah itu akan berkuat kuasa, Trump berkata beliau “tidak menetapkan had masa” bagi pelaksanaan tersebut, yang menurut Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) berkait dengan senarai 19 negara yang sudah dikenakan sekatan perjalanan ke AS.

“Kita tidak mahu mereka,” kata Trump.

“Anda tahu kenapa kita tidak mahu mereka? Kerana ramai yang tidak membawa kebaikan dan mereka tidak sepatutnya berada di negara kita.”

Langkah pembekuan itu diumumkan selepas insiden tembakan di Washington pada 26 November yang mengorbankan Sarah Beckstrom, 20, manakala seorang lagi anggota cedera parah.

Suspek, Rahmanullah Lakanwal, 29, warga Afghanistan, telah ditahan dan didakwa atas tuduhan membunuh darjah pertama.

Lakanwal dilaporkan pernah menjadi sebahagian daripada “pasukan rakan kongsi” yang disokong CIA dalam memerangi Taliban di Afghanistan, sebelum memasuki AS melalui program penempatan semula selepas pengunduran tentera Amerika dari negara itu pada 2021.

Beliau diberikan status suaka pada April 2025 di bawah pentadbiran Trump, namun pegawai menyalahkan apa yang mereka anggap sebagai proses saringan longgar oleh kerajaan terdahulu pimpinan Joe Biden semasa operasi pemindahan udara dari Afghanistan.

Selepas insiden tembakan itu, Trump menulis bahawa beliau merancang untuk “menghentikan secara kekal imigran dari semua negara dunia ketiga bagi membolehkan sistem AS pulih sepenuhnya.”

Ditanya negara mana yang terlibat, DHS merujuk kepada senarai 19 negara – termasuk Afghanistan, Cuba, Haiti, Iran dan Myanmar – yang sejak Jun lalu telah dikenakan sekatan perjalanan ke AS. - Agensi


#Donald Trump #White House #beku suaka #Pengawal Kebangsaan #warga Afghanistan